Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin menyatakan kehadiran kira-kira 167,000 pelajar antarabangsa di Malaysia ketika ini menyumbang sekitar RM20 bilion setahun kepada ekonomi negara menerusi perbelanjaan yuran pengajian dan kos sara hidup.
Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh EMGS, setiap pelajar antarabangsa membelanjakan purata kira-kira RM10,000 sebulan sepanjang tempoh penginapan mereka di negara ini, petik The Malay Mail.
“Dengan 167,000 pelajar antarabangsa di Malaysia pada masa ini, ia memberikan impak kira-kira RM20 bilion setahun kepada ekonomi negara. Sebagai contoh, sekiranya mereka menuntut di universiti di Terengganu seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), komuniti setempat turut menerima manfaat daripada impak positif sosial dan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Malaysian Cultural Discovery Community Immersion di Pantai Teluk Ketapang, di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata kehadiran pelajar antarabangsa bukan sahaja memberi manfaat kepada institusi pengajian tinggi, malah merangsang aktiviti ekonomi tempatan, termasuk perniagaan makanan dan perkhidmatan.
Novie berkata Malaysia kini diiktiraf sebagai antara 14 destinasi pengajian tinggi terkemuka di dunia, sekali gus membuktikan negara ini semakin menjadi pilihan utama dalam kalangan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian.
“Sebelum ini, hanya empat negara iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Kanada yang sering menjadi pilihan utama pelajar antarabangsa, namun Malaysia kini turut tersenarai.
“Ini menunjukkan bahawa kita telah menjadi pesaing dalam sektor pengajian tinggi global,” katanya.
Novie berkata jumlah pelajar antarabangsa di Malaysia meningkat kira-kira 23 peratus sejak tiga tahun lalu, yang mencerminkan peningkatan minat dalam kalangan pelajar luar negara untuk belajar di sini.
Beliau berkata Malaysia mensasarkan untuk menarik 500,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2035, seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) bagi tempoh 10 tahun.
“Pada masa ini kita mempunyai 167,000 pelajar antarabangsa. Insya-Allah, kami sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan jumlah tersebut, dan ini merupakan salah satu daripadanya.
“Kami akan menjelajah ke pelbagai pelosok dunia yang merangkumi kira-kira tujuh hingga delapan rantau bagi mempromosikan pengajian tinggi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Novie berkata lima negara utama penyumbang pelajar antarabangsa ke Malaysia ketika ini ialah China, Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan.
Beliau menambah, sebahagian besar pelajar antarabangsa merupakan pelajar pascasiswazah, manakala jumlah keseluruhan tersebut merangkumi pelajar yang mendaftar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).