Pelajar cemerlang SPM 2022, Muhammad Syahril Saidi yang memperoleh 11A kini dilaporkan menerima lebih 10 tawaran pengajian dan juga biasiswa menerusi laporan Sinar Harian.

Muhammad Syahril, 18, berkata, tawaran yang diterima antaranya daripada Petronas, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan kerajaan negeri.

Baca Juga:

“Beberapa universiti awam termasuk Universiti Malaya juga ada menawarkan saya untuk menyambung pengajian di tempat mereka.

“Tak sangka terlalu banyak tetapi alhamdulillah dan saya belum lagi membuat apa-apa keputusan untuk memilih yang mana,” katanya kepada pihak Sinar Harian.

Pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Darul Iman, Beris Lalang itu baharu kematian ibu tersayang, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, akibat angin ahmar pada Sabtu lalu, dua hari selepas menerima khabar gembira keputusan SPM.

Sebelum ini, beliau berhasrat menyambung pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, Bachok bagi mendapatkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan lebih dekat untuk menjaga ibunya yang sakit.

Beliau bagaimanapun akan berbincang dengan keluarga dan guru selepas ini bagi memilih tawaran yang bersesuaian. Beliau juga memaklumkan bercita-cita mahu menjadi pensyarah.

Kisah Muhammad Syahril tular selepas meraih kejayaan cemerlang namun tidak dapat ke sekolah untuk mengambil keputusan kerana menjaga ibunya.

Bahkan bakti Muhammad Syahril terhadap syurganya itu terus menarik perhatian umum apabila beliau sendiri mengimamkan solat jenazah Allahyarham ibunya pada Ahad lalu.

Dalam pada itu, anak bongsu daripada enam beradik itu berkata bahawa kejayaan yang diperolehinya adalah berkat pengorbanan arwah ibu dan adik-beradik serta ibu bapa saudaranya yang tidak henti memberinya semangat untuk menuntut ilmu.