Pada petang Rabu, 4 Jun lalu, suasana tenang di sebuah kafeteria Universiti Wuhan, Hubei, China, bertukar menjadi detik cemas apabila seorang pelajar tahun akhir bertindak ganas menikam beberapa individu secara rawak.

Insiden ini dilaporkan berlaku selepas tesis pelajar terbabit ditolak oleh panel penilai hanya dua hari sebelum sesi peperiksaan lisan dijadualkan.

Menurut laporan media tempatan termasuk MSN, pelajar tersebut dipercayai memasuki kafeteria bersenjatakan pisau dapur dan terus menyerang orang ramai.

Pelajar

Kejadian mengejutkan itu menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera — seorang pelajar perempuan dilaporkan mengalami luka di leher, manakala dua lelaki turut tercedera.

Lebih mengerikan, suspek dilaporkan cuba menyembelih dirinya sendiri selepas melakukan serangan, namun berjaya ditahan oleh pengunjung kafeteria lain yang bertindak pantas menggunakan meja dan kerusi sebagai penghadang untuk menyekat pergerakannya.

Beberapa gambar dan video insiden ini yang tular di media sosial China menunjukkan mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di luar kafeteria, sambil pasukan perubatan memberikan rawatan kecemasan.

Hingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis atau Universiti Wuhan mengenai insiden tersebut.

Pelajar

Namun, perbualan hangat mengenai kejadian itu terus menjadi trending di platform seperti Weibo, dengan topik seperti “Universiti Wuhan” dan “tikam rawak di kafeteria” mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Pelajar Tertekan

Sumber dari kalangan pelajar mendakwa suspek telah beberapa kali mengubah tesisnya dan berjaya melepasi semakan plagiarisme.

Namun, panel penilai yang dikatakan bukan penasihat asalnya telah menolak hasil kerja tersebut, memaksa pelajar itu untuk menulis semula keseluruhan tesis dalam masa yang singkat — sesuatu yang hampir mustahil, apatah lagi menjelang hari peperiksaan lisan.

Ada yang mendakwa panel baru ini dipilih bagi memenuhi kuota penilaian akademik.

Pelajar

Sebelum serangan berlaku, akaun media sosial dipercayai milik suspek dengan nama “Zhu Zhan” telah memuat naik satu hantaran yang menjadi topik perbincangan orang ramai.

Dalam hantaran tersebut, dia meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan panel serta tekanan yang dihadapi untuk menyiapkan semula tesis.

Lebih membimbangkan, dia menulis: “Jika tak boleh diperbaiki, penyelesaian satu-satunya ialah membunuh. Tiada yang lebih berkesan daripada pisau dapur.”