Seorang calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi, Syafinaz Deng, diterbangkan dengan helikopter Bell Jetranger B3 milik Hornbill Skyways dari Apau Nyaring ke Lapangan Terbang Marudi.
Memetik laman Premier Department Sarawak, Syafinaz Deng yang merupakan pelajar kaum Penan dari SMK Marudi diterbangkan khas oleh juruterbang Kapten James Dario Canero dari Apau Nyaring iaitu sebuah kawasan di pedalaman Miri ke Lapangan Terbang Marudi pada pukul 4.32 petang tadi bagi menduduki peperiksaan pada Isnin.

Baca Juga:
- Helikopter Terbakar, Terhempas Di Bentong
- Mahu Elak ‘Jem’, Ahli Perniagaan Bawa Keluarganya Naik Dua Helikopter Untuk Pulang Ke Rumah
- ‘Mungkin Kerana Asbab Wakaf RM1,000, Allah Gandakan Jadi RM1 Juta’ – Bekas Juruterbang Helikopter Nuri
Menurut Pegawai Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisu yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Beluru, terdahulu helikopter ini telah menghantar bantuan pek makanan kering kepada penduduk Apau Nyaring yang terputus hubungan selama dua minggu susulan insiden jalan raya yang telah runtuh.
Beliau memberitahu, pihak kampung telah memohon bantuan daripada juruterbang agar membantu menghantar pelajar ini ke SMK Marudi di Marudi untuk menduduki peperiksaan STPM semasa helikopter dalam perjalanan balik ke Miri.
Tak sangka dapat naik helikopter

Syafinaz telah dihantar oleh ibu bapanya sebelum menaiki helikopter berkenaan.
Setibanya di Marudi pada pukul 5:10 petang Syafinaz disambut oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Baram.
“Ini kali pertama saya menaiki helikopter. Tak sangka langsung,”
“Saya tidak pernah terfikir akan mengembara dengan helikopter untuk kembali ke sekolah di Marudi. Saya berterima kasih kepada juruterbang kerana membawa saya dalam penerbangan selama 40 minit itu,” ujar Syafinaz.

Syafinaz, anak kedua daripada empat beradik berkata, walaupun jalan dari kampungnya ke Marudi dibuka, perjalanan itu pasti sukar.
Katanya, dia dan ibu bapanya mengambil masa lapan jam untuk pulang ke kampung mereka sempena cuti sekolah baru-baru ini.

Sementara itu, misi penghantaran bantuan ke Apau Nyaring tersebut akan memberi manfaat kepada seramai 276 orang penduduk komuniti Penan di situ.
Warganet mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Dr. Penguang, Pegawai Daerah Beluru, PPD Baram dan Hornbill Skyways kerana memudahkan perjalanan calon STPM berkenaan.