Seorang pelancong dari India meluahkan rasa kagum terhadap Malaysia sambil membuat perbandingan dengan negara sendiri.
Dalam satu hantaran di Reddit, lelaki India yang tidak dikenali itu menulis sebuah catatan bertajuk ‘Baru pulang dari Kuala Lumpur dan saya berasa malu,’ di mana beliau menceritakan bagaimana lawatan spontan ke Malaysia telah mengubah sepenuhnya pandangannya terhadap tahap kesedaran sivik dan tadbir urus di India, petik Hindustantimes.
Baca Juga:
- Malaysia Tiada Usul ‘Claim’ Tradisi Pacu Jalur, Duta Besar Indonesia Minta Rakyatnya Lebih Bijak Menilai

- FRIM Diiktiraf Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO Ke-6 Malaysia


Pelancong tersebut menyatakan dia membuat perubahan rancangan di saat akhir memilih datang ke Malaysia berbanding Vietnam kerana hujan lebat di negara itu.
Pada masa sama dia datang dengan jangkaan yang sangat rendah. Bagaimanapun kunjungan itu ternyata membuatkannya berasa kagum.
Malaysia satu negara terancang dan tersusun

“Kuala Lumpur kelihatan sangat terancang dan tersusun. Tiada lubang di jalan, tiada gambar atau kain rentang ahli politik, kebersihan di mana-mana, tahap kesedaran sivik yang tinggi, kualiti hidup yang hebat, udara bersih dan rakyat yang mesra,” tulisnya.
Apa yang lebih mengejutkannya ialah perbezaan ketara antara Kuala Lumpur dan bandar-bandar di India.
“Saya selama ini memang menentang idea rakyat India menetap di luar negara, tapi tiba-tiba saya rasa kasihan pada pelancong asing yang datang ke India untuk bercuti, ataupun rakyat India di luar negara (NRI) yang terpaksa pulang atas pelbagai sebab,” jelasnya.
Dia mendakwa bahawa rakyat India seolah-olah sudah berputus asa terhadap kerajaan dan pihak berkuasa tempatan. Walaupun negara itu memiliki sumber dan potensi, kebanyakan rakyat masih terpaksa bergelut untuk mendapatkan kemudahan asas.
“Kita terlalu sibuk bertelagah sesama sendiri tentang isu-isu remeh, dan kita rasa cukup gembira dengan kemenangan IPL atau T20, memuja selebriti, atau meraikan ahli politik kegemaran tanpa pernah mempersoalkan tanggungjawab mereka.
“Sejujurnya, saya rasa macam dah hilang harapan, dan bila tengok keadaan sekarang, impian tu rasa macam terlalu jauh untuk dicapai,” tambahnya lagi.