Tiga pelancong warga Malaysia dikenakan dua pertuduhan setiap seorang selepas memandu kenderaan secara berbaris hingga menghalang lalu lintas di Jalan Phet Kasem, pusat bandar Hat Yai, awal pagi tadi, bagi tujuan merakam kandungan video.

Menurut maklumat yang diterima pihak media daripada penduduk tempatan, kejadian pada pukul 12.28 tengah malam itu membabitkan empat buah kenderaan, iaitu tiga kereta bernombor pendaftaran Malaysia (berwarna biru, merah dan putih) serta sebuah kereta bernombor pendaftaran Thailand (berwarna hitam).

Kereta berwarna hitam yang dipandu seorang warga tempatan dilihat berada di hadapan sambil merakam aksi kumpulan berkenaan.

Kesemua kenderaan tersebut dipandu secara perlahan dalam barisan sehingga menyekat aliran trafik, selain berpusing beberapa kali di sepanjang Jalan Phet Kasem bermula dari hadapan Dewan Bandaraya Hat Yai sebelum membuat pusingan U di hadapan restoran Khao Tom Soe Ueng.

Tindakan itu mengundang rasa tidak puas hati penduduk tempatan yang kemudiannya meluahkan bantahan di media sosial, petik portal News1live.

Susulan kejadian tersebut, ketiga-tiga warga Malaysia berkenaan tampil ke Balai Polis Hat Yai dan masing-masing berdepan dua pertuduhan, iaitu memandu dengan cara yang menghalang lalu lintas serta kelengkapan kenderaan yang tidak sempurna. Kesemua mereka telah menjelaskan denda yang dikenakan.

Menerusi seorang jurubahasa, kumpulan pelancong itu mendakwa mereka tidak menyedari perbuatan tersebut menyalahi undang-undang memandangkan dua daripada mereka baru pertama kali berkunjung ke negara itu.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka yang kerap melawat Thailand memaklumkan bahawa mereka akan mematuhi prosedur yang ditetapkan pada masa hadapan dengan merujuk kepada pihak polis bagi mendapatkan permit yang sah terlebih dahulu. Mereka turut memohon maaf kepada pengguna jalan raya dan menyatakan akan pulang ke Malaysia dengan segera.

Sementara itu, Timbalan Inspektor Trafik Balai Polis Hat Yai, Leftenan Polis Prut Pattanapran mengesahkan ketiga-tiga kenderaan dari Malaysia itu telah dipanggil ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Beliau menjelaskan bahawa pelancong terbabit berkemungkinan kurang arif mengenai undang-undang di Thailand dan pihaknya telah memberi penerangan mengenai kepentingan menghormati serta memahami implikasi perundangan tempatan bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.

Sumber