Dalam satu pendedahan baru-baru ini di platform media sosial popular China, Xiaohongshu, seorang pengunjung Taiwan menyuarakan rasa terkejut yang mendalam terhadap budaya pemanduan rakyat Malaysia.

Perkongsian pada 27 Mac lalu itu memperincikan beberapa pemerhatian yang membuatkan beliau terkejut malah takut dengan gelagat pemandu Malaysia.

Beliau berkongsi mengenai gelagat pengendara motosikal di sepanjang lebuh raya dengan kelajuan sehingga 120 km/j bersama kereta.

Pelancong Taiwan tersebut merasakan perbezaan yang ketara berbanding negaranya, di mana kelajuan seperti itu jarang dilihat di lebuh raya. “Eh, ini betul-betul jalan raya!” katanya tidak percaya.

Tambah membingungkan beliau lagi adalah sikap tidak endah dengan isyarat lampu untuk tukar lorong di kalangan pemandu Malaysia.

Di Taiwan, kegagalan memberi lampu isyarat pertukaran lorong boleh mengakibatkan denda yang serius, namun di Malaysia, ia nampaknya menjadi amalan biasa.

Walaupun ada kalanya merasa takut akibat pertukaran lorong yang dilakukan secara tiba-tiba tanpa memberi lampu isyarat, pelancong Taiwan bagaimanapun telah dinasihatkan oleh temannya orang Malaysia bahawa beliau perlu menjangkakan hal itu lebih awal.

Selain itu, pelancong Taiwan itu juga kagum dengan cara pemanduan orang Malaysia yang laju, sambil bergurau menyatakan bahawa setiap pemandu seolah-olah memiliki kemahiran “dewa kereta.”

Pemerhatian yang dibuat oleh pengunjung Taiwan itu menarik perhatian netizen Malaysia, yang sebahagian besarnya bersetuju dengan penilaiannya.

Sumber