Sebanyak RM40,000 yang diperlukan oleh kedua pasangan kekasih yang ditahan selepas mencetuskan kontroversi pada satu persembahan komedi di Kuala Lumpur bulan lalu untuk membayar wang ikat jamin.

Disebabkan kekangan kewangan, pasangan ini – Siti Nuramira Abdullah, 26, dan Alexander Navin Vijayachandran, 38 – terpaksa memohon dana awam atau crowdfunding bagi membayar jumlah ikat jamin yang agak tinggi tersebut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Memetik laporan MalaysiaKini, peguam R Sivaraj yang mewakili kedua-dua pasangan tersebut berkata setakat ini kedua-dua mereka hanya berjaya mengumpulkan RM3,000 hasil sumbangan peguam, NGO dan orang awam.

“Mereka ada simpanan dalam bank, tetapi mereka di penjara, jadi mereka tidak dapat akses kepada akaun masing-masing. Jiran mereka (yang menjadi penjamin) juga berkata tidak dapat buat apa-apa, mereka mahu keluarkan menggunakan kad kredit tapi mereka tidak tahu nombor pin,” katanya.

Nuramira yang sebelum ini tular di media sosial kerana mempersendakan agama dengan menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menghina Islam.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Manakala teman lelaki wanita berkenaan, 38, pula dipercayai akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Memetik laporan Buletin TV3, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Sabtu lalu dan direman selama empat hari hingga hari ini, manakala teman lelakinya ditahan keesokannya serta direman selama tiga hari.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video menunjukkan seorang wanita dipercayai membuat satu stand-up comedy didakwa di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail.

Menerusi video berdurasi 53 saat itu, kelihatan seorang wanita berbaju kurung dan bertudung memperkenalkan diri serta mengaku sebagai seorang wanita Muslim yang menghafaz 15 juzuk al-Quran, kemudian membuka pakaian sehingga mendedahkan sebahagian tubuh badannya.

Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga memaklumkan pihaknya sedang menyiasat video itu, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara serta-merta lesen kelab komedi itu susulan tular video terbabit.

Mengaku tidak bersalah, wanita persenda agama Islam berdepan hukuman penjara sehingga 5 tahun. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Mengaku Tidak Bersalah, Wanita Persenda Agama Islam Berdepan Hukuman Penjara Sehingga 5 Tahun

JAWI Bakal Siasat Wanita Persenda Dan Hina Kesucian Agama Islam Di Sebuah Kelab