Peluang Donald Trump untuk memenangi pilihan raya presiden pada bulan November ini melonjak selepas insiden cubaan membunuh, lapor Daily Mail.

Bekas presiden yang berusia 78 tahun itu terselamat dari cubaan membunuh apabila peluru yang ditembak tepat ke kepalanya tersasar pada petang Sabtu, di sebuah perhimpunan di Butler, Pennsylvania.

Dalam keadaan berlumuran darah, Trump mengangkat tangan selepas ditembak di telinga, mencipta imej yang kuat sehingga mendorong kepada kenaikan mendadak peluangnya untuk menang pilihan raya.

Sebelum kejadian, peluang Trump di PredictIt, sebuah ramalan dalam talian yang berpangkalan di New Zealand, adalah 59 sen setiap dolar.

Selepas serangan itu, peluangnya meningkat kepada 66 sen setiap dolar dan kekal, manakala peluang Biden menjunam kepada 22 sen.

“Reagan naik 22 mata dalam tinjauan selepas cubaan membunuh. Pilihan raya ini kemungkinan besar akan menjadi kemenangan besar,” kata Nick Ferres, ketua pegawai pelaburan di Vantage Point Asset Management kepada Reuters.

Di Polymarket, platform pertaruhan mata wang kripto, peluang Trump untuk menang meningkat kepada 70 peratus.

Harga bitcoin juga meningkat hampir $60,000 setiap bitcoin pada hari Sabtu, menurut Fortune.

Peluang Biden hanya 16 peratus untuk menang di Polymarket.

Dalam Insiden cubaan membunuh Trump ini telah menyebabkan pembunuh dan seorang penyokong Trump mati di tempat kejadian manakala dua yang lain dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.

Suspek melepaskan sekurang-kurangnya lapan tembakan dari atas bumbung dengan sebuah senapang.

Trump mengesahkan dia terkena tembakan dalam satu kenyataan dari hospital beberapa jam selepas kejadian menakutkan itu berlaku.

Imej Trump yang diambil selepas tembakan telah membuatkan beberapa orang ternama dan ahli perniagaan menyatakan sokongan kuat kepada beliau.

“Saya menyokong Presiden Trump sepenuhnya dan berharap dia cepat sembuh,” kata Musk di X.

“Kali terakhir Amerika mempunyai calon sekuat ini adalah Theodore Roosevelt.”

“Saya secara rasmi menyokong Donald Trump,” kata Ackman.

“Saya beri jaminan bahawa saya telah membuat keputusan ini dengan teliti, rasional, dan dengan bergantung pada data sebanyak mungkin.”

“Saya percaya pilihan raya presiden yang akan datang adalah salah satu pilihan raya paling penting dalam hidup saya.”

Dave Portnoy menegaskan Trump adalah seorang yang “berani” dan akan menang mudah dalam pilihan raya presiden tahun ini selepas dia terselamat dari percubaan pembunuhan itu.