Penyerang skuad kebangsaan Australia, Tete Yengi, berkongsi detik istimewa yang mengubah hidupnya apabila beliau mendedahkan bahawa dirinya memeluk Islam selepas satu kunjungan ringkas ke sebuah masjid.

Menurut Yengi, pada asalnya beliau hanya mahu melihat sendiri bagaimana umat Islam menunaikan solat. Tanpa terdetik pun di hatinya untuk memeluk agama Islam pada ketika itu.

Namun hidayah sampai kepadanya sekelip mata. Dan lebih menarik pada hari beliau tiba di masjid tersebut, kebetulan pendakwah terkenal Mufti Menk ada di situ.

Kisah tersebut diceritakan Yengi dalam satu temu bual bersama OnePath Network, di mana beliau menjelaskan bahawa beliau tidak pernah merancang untuk memeluk Islam pada hari itu.

Bertemu Mufti Menk Secara Tidak Disangka

Selepas solat Jumaat, Yengi berpeluang bertemu pendakwah terkenal dari Zimbabwe, Mufti Menk.

“Saya hanya pergi ke masjid untuk melihat bagaimana orang Islam bersolat… tetapi akhirnya saya mengucapkan syahadah bersama Mufti Menk,” kata Tete Yengi.

Dalam pertemuan itu, Mufti Menk bertanya sama ada beliau sudah mengucapkan syahadah. Apabila Yengi menjawab belum, Mufti Menk kemudian bertanya sama ada beliau mahu melakukannya ketika itu juga.

Yengi mengakui beliau seakan-akan tidak mampu menolak ‘pelawaan tersebut’, lalu mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Mufti Menk.

Kini Terus Mengamalkan Islam

Pemain berusia 25 tahun itu kini dikenali sebagai seorang Muslim yang mengamalkan ibadah termasuk berpuasa pada bulan Ramadan.

Beliau menganggap pilihannya untuk memeluk Islam adalah perkara terbaik yang pernah dilakukannya dalam hidupnya.

Malah, beliau sebelum ini pernah berkongsi mengenai pengalaman menjalani Ramadan sebagai pemain bola sepak profesional ketika beraksi di Scotland.

Yengi merupakan antara pemain yang membantu Australia layak ke Piala Dunia 2026 dan menjadi sebahagian daripada skuad Socceroos dalam kejohanan itu.

Perkongsian beliau mendapat perhatian ramai di media sosial, dengan ribuan pengguna mengucapkan “Alhamdulillah” serta mendoakan agar beliau terus istiqamah dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.