Pemain skuad kebangsaan Indonesia, Arkhan Kaka tersenarai dalam 60 bakat muda terbaik yang dikeluarkan oleh salah satu akhbar ternama dari England iaitu The Guardian.

Baru-baru ini, akhbar tersebut mengeluarkan senarai 60 pemain muda yang dianggap mempunyai bakat terbaik dan memiliki peluang cerah untuk menyinar pada masa hadapan.

Baca Juga:

Bagi senarai edisi kali ini, The Guardian memilih pemain yang dilahirkan pada tahun 2007 dan selain Arkhan, beberapa pemain yang beraksi bersama kelab ternama di Eropah turut tersenarai.

Antara pemain yang tersenarai ialah pemain sayap Palmeiras, Estêvão Willian dan bintang muda Ecuador, Kendry Paez yang mana dua pemain ini sudah mengikat kontrak bersama Chelsea.

Tiga pemain yang sudah membuat penampilan bersama skuad utama Barcelona iaitu Lamine Yamal, Pau Cubarsi dan Marc Bernal turut berada dalam senarai tersebut. Anda boleh lihat senarai penuh di sini.

Di usia 17 tahun, Arkhan Kaka sudah meraih beberapa prestasi seperti menjaringkan dua gol bagi Indonesia ketika beraksi dalam temasya Piala Dunia B-17 Tahun yang diadakan di negara itu pada 2023.

“Penyerang Persis Solo itu membuat penampilan sulung dalam saingan Liga 1 pada usia 15 tahun, yang paling muda pernah berbuat demikian, dan juga telah melonjak ke tahap usia yang lebih tinggi dimana beliau bermain untuk Indonesia Bawah 20 Tahun.

“Masih ada kerja yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kualiti serta kemampuan beliau. Arkhan telah diketepikan daripada pasukan yang beraksi dalam kelayakan ke Piala Asia Bawah 20 tahun 2025 – tetapi ada harapan yang tinggi bahawa Kaka boleh berjaya,” dipetik dari perkongsian The Guardian.

Sebelum ini, dua pemain dari negara jiran pernah berada dalam senarai tersebut iaitu Egy Maulana Vikri dan Marselino Ferdinan yang ketika ini beraksi bersama Oxford United dalam Liga Kejuaraan di England.

Malaysia juga pernah memiliki pemain yang berada dalam senarai tersebut menerusi Luqman Hakim pada edisi 2019. Menariknya, daripada 60 pemain yang disenaraikan itu, hanya lima pemain daripada Asia termasuk Luqman yang menarik perhatian untuk disenaraikan dalam kelompok pemain terbaik yang lahir pada 2002.

Empat pemain itu adalah Jun Nishikawa (Jepun), Khasanov Mukhriddin (Tajikistan), Suphanat Muenta (Thailand) dan Jasurbek Jaloliddinov (Uzbekistan).