Pemain yang beraksi bersama kelab divisyen empat England, MK Dons iaitu Sam Sherring dilaporkan bakal menyarung jersi skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.
Baru-baru ini, Sherring meninggalkan komen dengan menggunakan bendera Malaysia di laman media sosial Instagram milik penjaga gol Burnley, James Trafford yang seolah-olah memberikan petunjuk kepada peminat bola sepak tanah air.
Baca Juga:
- Status Calon Pemain Warisan Lain Jadi Tanda Tanya
- Nilai Pasaran Pemain Warisan Indonesia Lebih Tinggi Daripada Keseluruhan Skuad Malaysia
- Indonesia Bakal Diperkuatkan Dua Pemain Warisan Baharu
Just Wow pic.twitter.com/mTObzE5L6c
— Onefootball.my (@OnefootballM) November 23, 2024
Sherring menjadi pemain terbaru yang dilaporkan memiliki kaitan dengan Malaysia dan sekiranya benar, maka beliau boleh beraksi dengan skuad Harimau Malaya.
Tonggak berusia 24 tahun itu merupakan bekas pemain akademi kelab terkemuka di Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Bournemouth FC pada tahun 2018 sebelum berhijrah ke beberapa kelab lain.
Sherring melengkapkan perpindahan dari kelab Northampton ke MK Dons pada Julai 2024 dan kehadiran beliau mendapat sambutan baik dari pengendali pasukan.
“Sam sesuai dengan profil pemain yang kami mahukan di kelab ini. Dia masih muda dan ingin berjaya tetapi sudah mempunyai pengalaman EFL yang bermakna dan pernah memenangi kejuaraan sebelum ini,” katanya.
Kini terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengesahkan sama ada Sherring benar mempunyai kaitan dengan negara ini atau sebaliknya.
FAM mempunyai pengalaman yang kurang baik sebelum ini dimana salah seorang pemain iaitu Mats Deijl tidak melepasi syarat kelayakan untuk menyertai skuad Harimau Malaya.
Ini kerana, berdasarkan dokumentasi-dokumentasi yang telah dilampirkan, didapati bahawa pemain berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau dan bukannya melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat FIFA.
Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang telah lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura merupakan sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu.
FAM bagaimanapun tetap berterima kasih kepada pemain ini atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia, namun ia tidak dapat direalisasikan.