Semakin ramai pemain yang dilaporkan mempunyai pertalian dengan negara kita dimana baru-baru ini seorang pemain muda kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dikhabarkan memiliki pertalian dengan Malaysia.

Pemain yang dimaksudkan ialah Jimi Gower dimana menurut Future Talents, pemain ini berusia 19 tahun dan ketika ini beliau beraksi bersama skuad Arsenal B-21 Tahun dalam saingan Liga Premier Inggeris 2.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Gower boleh beraksi di posisi tengah dimana beliau mampu untuk bermain sebagai pemain tengah bertahan, nombor 8 dan juga sebagai pemain tengah menyerang.

Menurut laporan Arseblog, Jimi mendapat kontrak profesional bersama kelab itu pada musim panas tahun lalu dan beliau menjadi pemain penting dalam skuad B-21 Tahun.

“Jimi mempunyai kualiti yang menjadikannya sebagai pilihan yang berguna untuk mana-mana jurulatih kerana dia sentiasa berusaha untuk menutup gerakan dari pemain lawan, pada masa yang sama dia juga merupakan sumber kreativiti.

“Anak kepada bekas pemain Swansea City, Mark Gower ini pastinya mempunyai banyak kelebihan dari segi taktikal untuk pemain seusianya, yang sepatutnya berguna apabila dia dipinjamkan buat kali pertama.

“Beliau juga sering berlatih dengan skuad utama dimana dia pernah dipanggil untuk menyertai perlawanan persahabatan menentang Watford pada pramusim,” dipetik dari Arseblog.

Menurut laporan, pemain muda Arsenal ini mempunyai pertalian dengan Malaysia menerusi ibunya namun Future Talents tidak menjelaskan secara terperinci dari negeri mana ibunya berasal.

 

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman menegaskan mereka memantau perkembangan pemain kacukan yang beraksi di liga luar negara.

Menurut beliau, pihaknya akan mengenal pasti mana-mana pemain yang mempunyai kaitan dengan Malaysia dan melihat sama ada pemain itu cukup bagus untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.

“Kita akan mengenal pasti dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai pemain kacukan. Cuma, pada hujungnya semua terpulang kepada ketua jurulatih.

“Kim Pan-gon dan Juan Torres Garrido akan menilai sama ada pemain ini sesuai untuk dipanggil. FAM sendiri sudah memberi tiga atau empat pemain kepada Juan Torres,” katanya.