Pemain skuad B-18 Tahun Brighton & Hove Albion, Shane Nti menafikan khabar angin yang mengatakan beliau mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

Baru-baru ini, Nti memberi komen dalam salah satu video di TikTok yang menunjukkan beliau mempunyai pertalian darah dengan Malaysia hasil daripada tangkap layar yang diambil dari permainan video terkemuka iaitu Football Manager.

Baca Juga:

Pemain muda Brighton itu mengatakan beliau bukan berasal dari Malaysia sekaligus mematahkan khabar angin yang beredar di laman media sosial sebelum ini.

Jauh sebelum Nti, ada seorang pemain yang dikatakan keturunan Malaysia selepas salah seorang peminat melihat kepada profil beliau dalam Football Manager.

Pemain yang dimaksudkan ialah Marcel Kalonda dan selepas mengemukakan dokumen kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dokumen tersebut didapati tidak sahih.

Menurut laporan, Kalonda sendiri yang mendakwa bapa dan datuknya berasal dari Sabah, langkah pertama diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah menghubungi sendiri Kalonda bagi mendapatkan pengesahan daripadanya.

Setelah menerima dokumen-dokumen lengkap yang diperlukan itu daripada Kalonda, FAM mengambil langkah seterusnya iaitu menghubungi pula pihak-pihak yang berkenaan bagi mendapatkan kesahihan terhadap dokumen-dokumen yang diterima, termasuk menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Congo (FECOFOOT) dan wakil konsulat Congo di Malaysia serta berhubung dengan JPN bagi semakan dan pengesahan dokumen berkaitan.

Susulan itu, FAM telah menerima surat maklum balas daripada JPN memaklumkan bahawa selepas semakan dan siasatan dibuat, satu daripada dokumen berkenaan didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.

Selepas menghubungi Kalonda untuk memaklumkan hasil semakan dan siasatan JPN itu, FAM dengan ini membuat keputusan untuk menutup terus proses dan langkah berikutnya.

FAM cukup tegas dalam proses pengesahan status pemain dan kami tidak memandang ringan syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi sebelum pakar-pakar teknikal melakukan penilaian terhadap tahap dan prestasi pemain berkenaan.