Pemain sayap Nam Dinh, Lam Ti Pong sedar tugasan berat bakal menanti pasukannya menjelang pertemuan separuh akhir pertama Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2025/26 menentang Selangor di Kelana Jaya, malam esok.
Wakil Vietnam itu mara ke separuh akhir dengan rekod tanpa sebarang kekalahan hasil empat kemenangan dan satu keputusan seri dicatatkan.
Nguyen Xuan Son jelas menjadi watak penting buat Nam Dinh apabila penyerang naturalisasi Vietnam itu meledakkan tujuh jaringan sepanjang kejohanan.
Walaupun mempunyai rekod cemerlang setakat ini, Ti Pong melihat Selangor mampu untuk memberikan kesukaran buat Nam Dinh pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu.
Nam Dinh Waspada Ancaman Selangor
“Selangor adalah pasukan yang kuat, terkenal dengan kepantasan dan fizikal mereka.”
“Saya percaya ia akan menjadi perlawanan yang menarik dan menyerang daripada kedua-dua pasukan,” ujar pemain berusia 30 tahun itu.
Nam Dinh telah menyambut kembali Vu Hong Viet yang menggantikan Mauro Jeronimo sebagai ketua jurulatih, dan pengendali Vietnam itu akan berdepan dengan Kim Pan-gon dari Selangor, jurulatih dari Republik Korea yang telah mencetuskan kebangkitan semula Red Giants.
Selangor hanya tewas sekali dalam 18 perlawanan dalam semua pertandingan sejak bekas jurulatih Malaysia, Hong Kong dan Ulsan HD itu dilantik pada Januari, dengan 12 kemenangan untuk berada di tempat kedua dalam kedudukan Liga Super Malaysia.