Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mencadangkan agar pemaju perumahan mengurangkan jumlah tempat letak kereta untuk projek rumah baharu yang berdekatan dengan stesen pengangkutan awam.
Langkah ini dicadangkan kerana syarat wajib menyediakan petak parkir yang banyak menjadi punca harga rumah meningkat.

“Kalau projek berdekatan dengan stesen pengangkutan awam seperti LRT atau MRT, mungkin boleh dikurangkan keperluan tempat letak kereta untuk menggalakkan penghuni menggunakan pengangkutan awam,” katanya kepada Berita Harian.
Loke menjelaskan bahawa sudah ada beberapa projek pembangunan yang berpusat pada pengangkutan awam (dikenali sebagai TOD – Transit-Oriented Development) di Kuala Lumpur yang telah dibenarkan untuk memohon pengecualian atau kelonggaran daripada syarat penyediaan tempat letak kereta kepada pihak berkuasa tempatan.
“Sekiranya duduk dekat dengan stesen pengangkutan awam, mungkin keperluan untuk memiliki kereta itu lebih rendah, sekali gus dapat menjimatkan kos kehidupan mereka,” katanya.
Tambahnya, langkah itu juga dapat menggalakkan peralihan jangka panjang kepada gaya hidup yang lebih berteraskan pengangkutan awam.