Malang memang tidak berbau, tetapi impaknya pasti boleh dikurangkan jika kita sentiasa bersedia. Inilah yang dibuktikan oleh seorang pemandu baru-baru ini apabila refleks pantasnya berjaya mengelak rempuhan daripada sebuah lori yang mengundur secara tiba-tiba.

Insiden mendebarkan ini menjadi bukti kukuh mengapa ilmu pemanduan defensif bukan sekadar teori, tetapi kemahiran penting yang mampu menyelamatkan nyawa di jalan raya.

Difahamkan kejadian ini berlaku di lampur isyarat Bandar Tun Hussein On yang mana pemilik dashcam dilihat sudah menjaga jarak sekitar 5 – 7 meter di belakang sebuah lori muatan berat.

Pemandu Dipuji Amalkan 'Defensive Driving', Berjaya Elak Kemalangan Lori Mengundur Secara Mengejut
Sumber Gambar: Threads

Lelaki yang dikenali sebagai Farid Izzat mempamerkan skil pemanduan yang cekap dan rasional apabila berjaya menggelak lori yang mengundur dengan laju secara mengejut.

Kebetulan laluan di sebelah kiri masih kosong, dia langsung mengalihkan kenderaan ke tepi sekaligus dapat menggelakkan kemalangan yang tidak diingini.

Pemandu Dipuji Amalkan 'Defensive Driving', Berjaya Elak Kemalangan Lori Mengundur Secara Mengejut
Sumber Gambar: Threads

Selain menjadi pengguna jalan tegar di kawasan itu langsung mengetahui tentang keadaan jalan yang curam dan berbukit di situ, dia turut mengambil lebih langkah berwaspada selepas didakwa melihat pemandu lori itu ada keluar menyemak sesuatu sebelum kejadian.

Tindakan pemuda terbabit yang tenang dan mempunyai refleks tinggi menghadapi saat genting telah meraih pujian ramai di media sosial.

Ramai percaya senario berbeza boleh terjadi jika kalau dia tidak berwaspada dengan keadaan sekeliling seperti apa yang terjadi kepada pemandu lain yang kebiasaannya lalai bermain telefon pintar sewaktu menunggu di lampu isyarat.

Tidak kurang juga, ada yang berseloroh menyamakan situasi itu dengan babak filem Fast & Furious yang memperlihatkan skil pemanduan yang tangkas termasuk memasuki semula laluan asal dengan pantas.

Dengan kehadiran video ini, orang ramai mula menyedari kepentingan mengamalkan penjagaan jarak dengan kenderaan hadapan atau pun dikenali sebagai pemanduan defensif walau di mana jua.

Disoal bagaimana keadaan kenderaan di belakangnya, pemilik dashcam mendakwa dia sempat melihat cermin belakang yang memaparkan visual kereta-kereta lain turut sempat mengelak ke tepi pada ketika itu.