Pulau Koh Samui digegarkan dengan tragedi apabila Catherine Delacote, seorang ahli perniagaan terkenal Perancis, ditemui mati di vilanya pada Isnin, lapor Bangkok Post.

Situasi kematiannya telah menimbulkan banyak persoalan, dengan muncul beberapa laporan terbaharu mengenai asetnya yang diwariskan kepada pembantu rumahnya dari Thailand, Nutwalai Phupongta.

Catherine Delacote, berusia 59 tahun, bukan sahaja memiliki lima vila dengan kolam renang mewah di Koh Samui tetapi juga tokoh penting dalam komuniti ekspatriat.

Keputusannya untuk meninggalkan aset yang dianggarkan 100 juta baht, kepada pembantu rumahnya, Nutwalai Phupongta, telah mendapat perhatian dan menimbulkan pelbagai spekulasi.

Menurut Nutwalai, aset yang dikurniakan kepadanya termasuk vila tempat dia tinggal, sebidang tanah dua rai berdekatan, wang tunai, kereta, dan pelbagai harta benda lain.

Delacote dan bekas suaminya, juga Perancis, telah berpindah ke Koh Samui dua belas tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, selepas bercerai, Delacote tinggal bersendirian di vila itu.

Pihak berkuasa tempatan, diketuai oleh Pol Mej Yannaphat Malai, telah melaporkan bahawa kematian Delacote adalah akibat insiden senjata api.

Mayatnya ditemui di atas katil sofa berhampiran kolam renang vila itu, dengan kesan tembakan.

Antara bahan bukti yang dijumpai di vila, termasuk senjata api automatik 45mm, peluru, segelas vodka, cermin mata hitam, dan rokok.

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa terdapat keraguan pada andaian awal iaitu bunuh diri.

Bagaimanapun, Nutwalai percaya bahawa majikannya Delacote membunuh diri, memetik mesej yang dihantar kepada beberapa individu sebelum kematiannya, menyatakan hasratnya untuk mewariskan asetnya kepada pembantu rumah.