Proses pembedahan ‘split skin grafting’ yang dijalani oleh Faisal Halim bagi merawat luka bakar akibat dari disimbah asid berjalan dengan lancar tetapi beliau masih memerlukan pemantauan rapi.
Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Perubatan Sukan Selangor FC iaitu Dr Muhammad Hazwan Khair dimana pembedahan itu diharapkan menjadi proses terakhir yang perlu dijalani oleh Faisal.
Baca Juga:
- Polis Temui Lapan Kesan Cap Jari Di Lokasi Simbah Asid Faisal Halim
- Kejadian Menimpa Faisal Halim Raih Perhatian Borussia Dortmund
- Faisal Halim Mungkin Dibenarkan Keluar Hospital Minggu Ini
“Pembedahan ‘split skin grafting’ yang dilakukan ke atas Faisal berjalan dengan lancar. Tetapi beliau perlu dipantau dengan rapi oleh pihak doktor dalam beberapa hari selepas pembedahan.
“Doktor mahu melihat sama ada kulit yang diambil dari paha Faisal tidak mengalami sebarang kejadian tidak diingini seperti jangkitan dan selepas itu barulah mereka akan memutuskan apa proses seterusnya yang bakal dijalankan.
“Faisal memberitahu beliau sedikit tidak selesa untuk berjalan selepas proses pembedahan ekoran sebahagian kulit paha yang diambil ketika proses tersebut. Tetapi ini hanya lima ke enam hari dan selepas itu beliau boleh berjalan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Vocket FC.
Dalam masa yang sama, Dr Hazwan turut menafikan Faisal dibenarkan pulang dalam masa terdekat kerana doktor yang mengendalikan pemain itu masih lagi belum memberikan sebarang kata putus.
Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengedarkan lakaran wajah suspek kes simbah asid terhadap Faisal Halim.

Menurut satu kenyataan rasmi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata anggaran umur suspek ialah 30 tahun dengan ketinggian 165 sentimeter. Beliau memaklumkan suspek juga mempunyai susuk badan sederhana dan berkulit sawo matang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu seperti lakaran diminta menghubungi pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D6), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Inspektor M.Jagachandran di talian 012-6848166 / 03-2266 6071 atau tampil di mana-mana balai polis berdekatan.