Jersi dipakai Cole Palmer ketika perlawanan menentang Brighton dimana beliau menjaringkan empat gol itu telah berjaya dilelong dengan harga yang cukup lumayan.
Aksi hebat ditampilkan pemain berusia 22 tahun itu menjadikannya sebagai pemain pertama yang berjaya menjaringkan empat gol pada separuh masa pertama perlawanan dalam saingan English Premier League (EPL).

Baca Juga:
- Ledak 4 Gol Pada Babak Pertama, Cole Palmer Cipta Sejarah EPL
- Cole Palmer: Memang Saya Ambil Banyak Sepakan Penalti, Tapi Semuanya Gol
- Cole Palmer: Berebut Nak Sepak Penalti Tanda Semua Mahu Ambil Tanggungjawab
Sejarah tersebut telah menarik minat golongan pengumpul jersi untuk mendapatkan jersi tersebut di laman sesawang rasmi terkenal dengan pembidaan jersi pasukan bola sepak seluruh dunia iaitu MatchWornShirt.
Sebelum ini, Chelsea turut mengumumkan secara rasmi berkenaan lelongan jersi para pemain lelaki dan wanita mereka boleh dibuat di laman sesawang tersebut.
Bidaan yang ditutup pada 5 Oktober lalu itu menyaksikan individu yang berada di Singapura telah berjaya memenangi bidaan dengan nilai €41,127 (anggaran tukaran terkini RM192,883.99).

Beliau menewaskan pesaing terdekat dari Amerika Syarikat yang membida €40,126 (RM188,187.63) dan pembida Hong Kong dengan €36,122 (RM169,395.45).
Difahamkan penjualan jersi Cole Palmer bernilai €41,127 itu akan disalurkan kepada badan amal Chelsea sendiri iaitu Chelsea F.C Foundation yang menumpukan kepada penglibatan komuniti, mempromosikan pendidikan, kesihatan, dan penyertaan sosial.
Yayasan ini menjalankan pelbagai program yang bertujuan untuk meningkatkan kehidupan individu, terutamanya golongan muda, melalui sukan, pendidikan dan inisiatif komuniti.
Selepas mengharungi tujuh perlawanan dalam kempen EPL, Palmer berjaya menjaringkan enam gol dan mencipta lima bantuan jaringan.