Menara pencakar langit terbaharu di Malaysia, Menara Merdeka 118 dilaporkan bakal dilancarkan pada sekitar bulan Januari 2024 nanti, petik Berita Harian.
Memetik laporan, kumpulan pertama yang akan berpindah ke menara kedua tertinggi di dunia itu dijangka dalam tempoh terdekat selepas mendapat kelulusan akhir untuk menduduki bangunan pencakar langit berkenaan.
Baca Juga:
- Bakal Jadi Kedua Tertinggi Dunia, Lihat Inspirasi Unik Di Sebalik Menara Merdeka 118
- Sebuah Lagi Menara Tertinggi Akan Dibina Berhampiran KLCC?
- Sebuah Lagi Menara Tertinggi Malaysia Bakal Dibina
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn.
“Menara sudah siap. Insya-Allah kumpulan pertama akan berpindah masuk sebelum akhir tahun ini. Dek pemerhatian akan dibuka pada separuh kedua 2024.
Pembangunan Menara Merdeka 118 yang menelan kos belanja RM5 bilion itu mempunyai 3.1 juta kaki persegi ruang lantai dan dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, setinggi 500 meter.
Difahamkan kadar penghunian menara tersebut adalah memberangsangkan. Kemasukan penghuni adalah secara berperingkat dengan penyewa utamanya, Maybank dijangka berpindah menjelang 2025.
Selain menjadi bangunan pencakar langit, menara tersebut turut dilengkapi bangunan pejabat premiumnya, hotel mewah, pusat membeli-belah moden, kediaman, tapak warisan, muzium dan masjid.
Sementara itu, terdapat laporan menyatakan satu lagi bangunan pencakar langit baharu bakal dibina berhampiran Menara Berkembar Petronas dan Suria Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Menara yang dikenali sebagai ‘The Unknown’ setakat ini, didakwa bakal lebih tinggi daripada Menara Merdeka 118.
Menerusi maklumat awal dikongsikan, bangunan itu bakal berketinggian 700 meter.
Sama-sama kita nantikan kemas kini daripada pihak pemaju pada masa akan datang.