Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Menara Merdeka 118 pada malam semalam.
Al-Sultan Abdullah memuji Pemodalan Nasional Berhad (PNB) dalam membangunkan projek ikonik tersebut selain usaha restorasi mercu tanda bersejarah, Stadium Merdeka yang terletak dalam presint Merdeka 118.
Baca Juga:
- Pembinaan Sudah Siap, Menara Merdeka 118 Bakal Dilancarkan Pada Januari 2024
- Bakal Jadi Kedua Tertinggi Dunia, Lihat Inspirasi Unik Di Sebalik Menara Merdeka 118
- Sebuah Lagi Menara Tertinggi Akan Dibina Berhampiran KLCC?
“Saya ingin mengajak rakyat Malaysia untuk melihat menara Merdeka 118 ini sebagai sebuah kejayaan meniti liku-liku kemerdekaan sehingga sebuah negara yang serba rencam dan majmuk dapat disatukan atas semangat nasionalisme yang tinggi.
“Menara ini sebenarnya adalah simbol bahawa kita meraikan khazanah kepelbagaian negara sebagai realiti wajah Malaysia yang merdeka,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian tersebut.
Memetik satu laporan, baginda turut berkenan merasmikan komponen masjid dalam pembangunan tersebut yang dinamakan Masjid Al-Sultan Abdullah pada majllis yang sama.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis tersebut.
Turut hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.
Menara Merdeka 118 dimiliki PNB melalui anak syarikat milik penuhnya, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd.
Direka bentuk oleh Fender Katsalidis dari Melbourne, Australia, menara canggih yang memiliki 118 tingkat dengan ketinggian 678.9 meter. Menara tersebut adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai (828 meter).