Pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik acara beregu lelaki, Lee Yang diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Sukan Taiwan.

Kementerian Sukan merupakan portfolio baharu yang diperkenalkan Kerajaan Taiwan dalam usaha memperkasakan sukan dan perkembangan beliaa di negara tersebut.

Baca Juga:

Lee Yang melakar sejarah buat kariernya apabila memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dan tampil cemerlang dalam mengulangi pencapaian hebat tersebut pada tahun lalu.

Daripada Pemenang Pingat Emas Sukan Olimpik Kepada Menteri Sukan Taiwan

Menurut sumber laporan Focus Taiwan, Lee Yang menerima surat pelantikan rasmi daripada Premier, Cho Jung-tai dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Sukan Universiti Nasional Taiwan sekali gus menjadi menteri termuda dalam sejarah negara itu.

Dalam ucapannya, Lee berkata pengalaman luasnya dalam bidang sukan akan membantunya memperkukuh pembangunan sukan di Taiwan.

Beliau berikrar untuk mempromosikan konsep ‘sukan untuk semua’  bagi merealisasikan visi Presiden Lai Ching-te yang mahu menggalakkan penyertaan rakyat secara menyeluruh dalam sukan serta meningkatkan kesihatan awam melalui perancangan sistematik.

Lee Yang turut berkata beliau mahu mempromosikan kesaksamaan jantina dalam sukan dan memastikan ia lebih mudah diakses oleh golongan kurang upaya dan warga emas.

Beliau juga berjanji untuk meningkatkan keupayaan dan keterlibatan Taiwan dalam arena sukan antarabangsa.

“Kami akan secara aktif membida dan menganjurkan lebih banyak kejohanan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kehadiran global Taiwan dalam bidang sukan.”

Selain itu, kata Lee, kementeriannya akan memberi fokus kepada usaha mencungkil bakat belia dan akar umbi.

“Dengan menyediakan peluang dan sumber untuk kanak-kanak, kita dapat menyokong serta membimbing mereka sehingga berjaya, membantu mereka menemui harapan dalam sukan dan merealisasikan impian.”

“Sebagai seseorang yang pernah melaluinya sendiri, saya faham betapa pentingnya mengimbangi pelajaran dan latihan bagi atlet pelajar. Bukan sahaja untuk masa depan mereka, tetapi juga untuk pembangunan masyarakat.”

“Sebagai seorang atlet, saya cintakan cabaran dan kemenangan bersama pasukan. Saya akan menegakkan semangat kesukanan dan bekerjasama dengan anda semua untuk mencipta satu lagi mercu tanda baharu dalam perjalanan sukan Taiwan,” tambah Lee Yang lagi.

 

Sumber