Pemilik kelab Liga Perdana Inggeris, Nottingham Forest — yang juga pemilik gergasi Greece, Olympiacos — Evangelos Marinakis kini berdepan perbicaraan di Athens atas tuduhan mencetuskan keganasan bola sepak dan menyokong kumpulan jenayah terancang.

Marinakis bersama empat ahli lembaga Olympiacos lain, didakwa atas dua pertuduhan salah laku iaitu, menghasut keganasan melalui kenyataan terhadap pihak berkuasa, serta menyokong organisasi jenayah antara tahun 2019 hingga 2024.

Menurut laporan BBC Sport, Marinakis tidak hadir secara peribadi tetapi diwakili oleh peguamnya, Vassilis Dimakopoulos, yang menyifatkan pertuduhan tersebut sebagai “tidak berasas sama sekali.”

“Tuduhan ini langsung tidak mempunyai asas. Ia satu dakwaan yang tidak masuk akal,” kata Dimakopoulos kepada media di luar mahkamah.

Kes berpunca daripada insiden maut 2023

Kes ini berpunca daripada kematian tragis seorang pegawai polis rusuhan berusia 31 tahun, George Lyngeridis, yang terkena tembakan flare ketika kekecohan di luar perlawanan bola tampar wanita antara Olympiacos dan Panathinaikos pada tahun 2023.

Lyngeridis cedera parah dan meninggal dunia beberapa minggu kemudian — tragedi yang menggoncang dunia sukan Greece dan mencetuskan siasatan besar-besaran terhadap kegiatan hooliganisme di negara itu.

Sebanyak 142 penyokong didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah, manakala tujuh daripada mereka didakwa sebagai “otak utama” organisasi tersebut. Semua mereka menafikan tuduhan.

Suasana tegang di hari pertama perbicaraan

Hari pertama perbicaraan berlangsung dalam keadaan tegang di bilik khas berhampiran penjara berkeselamatan tinggi Korydallos, selatan Attica, bukannya di mahkamah biasa, memandangkan jumlah tertuduh dan saksi yang terlalu besar.

Walaupun dijadualkan bermula pada tengah hari, perbicaraan hanya bermula jam 1.30 tengah hari dan berakhir sejam setengah kemudian.

Langkah keselamatan dilaksanakan dengan ketat — setiap individu diperiksa kad pengenalan, beg disemak menggunakan pengesan logam, dan anggota polis bertopeng lengkap bersenjata ditempatkan di pintu masuk.

Tiada tunjuk perasaan besar-besaran penyokong Olympiacos, walaupun beberapa kumpulan kecil hadir di sekitar kawasan itu.

Sesi pertama lebih kepada pembacaan nama tertuduh dan saksi. Mahkamah terdiri daripada panel tiga hakim kanan yang akan membuat keputusan berdasarkan majoriti.

Media ditempatkan di bilik berasingan yang dijadikan pusat liputan sementara.

Perbicaraan bakal berlarutan beberapa bulan

Dengan lebih 140 tertuduh dan 220 saksi, kes ini dijangka menjadi antara perbicaraan sukan terbesar dalam sejarah Greece moden.

Perbicaraan akan bersambung pada 25 November, dan dijangka mengambil masa berbulan-bulan sebelum sebarang keputusan dibuat.