Bila sebut perkataan ‘mengidam’, dalam sekelip mata kita terbayangkan seorang wanita mengandung mempunyai satu perasaan ‘keinginan pelik’ yang mesti dipenuhi oleh pasanganya. Perasaan itu tidak akan hilang selagi mana keinginan tersebut tidak dipenuhi.
Sebelum ini pengacara dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya telah berkongsi tangkap layar satu mesej daripada wanita mengandung yang sangat teringin menaiki Perodua Ativa berwarna putih. Tangkap layar tersebut telah menarik perhatian ramai sehingga menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Simple thing pic.twitter.com/ZWvkDX3w3k
— Fedtri Yahya (@fedtriyahya) January 23, 2022
Pada awal pagi tadi, pengacara tersebut telah memuat naik ciapan di mana wanita mengandung tersebut memaklumkan telah berjaya memenuhi ‘mengidamnya’ hasil bantuan Fedtri Yahya di media sosial sebelum ini.
The Vocket telah berhubung dengan Siti Aisyah Sulaiman, pemilik Perodua Ativa putih tersebut dan beliau langsung tidak menyangka tindakannya dalam membantu wanita mengandung tersebut menjadi bualan ramai.
Menurut Siti Aisyah, beliau mendapat tahu permintaan tersebut apabila kawan-kawan baiknya berkongsi tangkap layar Instagram Story Fedtri Yahya dan beliau terus menghubungi pengacara tersebut untuk membantu wanita itu.
“Saya tergerak hati mahu membantu sebab pernah dengar daripada kawan-kawan yang pernah mengidam pelik-pelik, tapi permintaan mereka tidak dipenuhi. Mereka berasa sangat kecewa sampai selalu teringat-teringat,” kata Siti Aisyah.
Kebetulan pula Siti Aisyah pulang ke Kedah, beliau terus menuju ke Kota Sarang Semut selepas satu hari sebelum itu wanita mengidam yang dikenali sebagai Naziah menghantar mesej kepadanya untuk menetapkan temu janji mereka.
“Setelah saya menerima mesej, keesokkan hari saya pergi bertemu Naziha dari Jitra dengan jarak perjalanan yang mengambil masa kira-kira satu jam. Saya terbayangkan andai kata diri saya sendiri yang mengidam, tak tahulah macam mana perasaan saya,” terang Siti Aisyah.
Siti Aisyah sendiri mengakui terkejut apabila Naziha menzahirkan perasaan terlalu gembira apabila dia berpeluang untuk menaiki Perodua Ativa berwarna putih itu. Lebih-lebih apabila beliau menawarkan Naziha untuk memandu sendiri kereta tersebut.
“Saya sendiri terkejut apabila melihat dia terlalu gembira dan teruja apabila dapat menaiki kereta itu.
“Mula-mula saya yang bawa, sampai sekerat jalan, saya tawarkan kepada Naziha untuk memandu sendiri kereta Ativa ini.
“Naziha agak terkejut pada awalnya, bagaimanapun dia sangat gembira dapat meronda pusing dari Pekan Yan sampailah ke Pantai Murni menaiki Ativa putih ini,” terang Aisyah kepada The Vocket.
Sebelum mengakhiri perbualan, Siti Aisyah menyatakan bahawa dalam setiap rezeki yang kita perolehi, ada sebahagiannya perlu dikongsikan bersama orang lain.
“Setiap orang mempunyai rezeki dan kemampuan yang tidak sama. Janganlah kecam hajat orang lain.
“Ada orang mampu beli barang mewah hanya untuk dikongsikan dekat media sosial, namun tidak mampu untuk berkongsi dengan orang lain.
“Ada sebahagian orang pula tidak ada barangan mewah, tetapi tidak berkira untuk berkongsi rezeki dengan orang lain. Setiap atas rezeki yang kita terima, ada rezeki orang lain yang kita perlu kongsikan bersama,” ujar Siti Aisyah.
Tahniah diucapkan kepada Siti Aisyah dan Fedtri Yahya kerana bersama-sama berkongsi rezeki bagi memenuhi ‘mengidam’ Naziha untuk menaiki sebuah kereta Perodua Ativa berwarna putih.
*Ikuti VOCKET CAR CLUB melalui Facebook dan Instagram untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.
Pada tahun lalu, Lee Zii Jia terkejut apabila menerima 3 bungkus nasi lemak daripada peminat setelah mereka mengetahui pemain badminton negara itu mengidam mahu makan hidangan tersebut. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.
Mengidam Tapi Tiada Dalam Menu, Lee Zii Jia Terkejut Terima 3 Bungkus Nasi Lemak Daripada Peminat
‘Terima Kasih Berkhidmat 16 Tahun’- Majikan Sebak Pekerja Bangladesh Pulang Ke Kampung
Selepas Dihadiahkan Motosikal, Netizen Tumpang Gembira Abang Viva Viral Terima Mitsubishi Triton