Hagia Sophia, sebuah muzium yang menjadi sebahagian daripada sejarah pembinaan Turki, kembali diperdebatkan mengenai statusnya. Muzium yang dibangunkan sebagai gereja sebelum ditukarkan menjadi masjid oleh Kerajaan Uthmaniyyah, menjadi tema hangat yang muncul di tengah-tengah perjuangan antara aktivis konservatif dan toleransi.
Terbaharu, Patriark Constantinople dari Gereja Apostolik Armenia, Sahag II. Mashialan, mencadangkan agar umat Islam dan Kristian diberi kesempatan yang sama untuk beribadah di sana.
Menurut pemimpin agama Kristian Armenia di Turki, Hagia Sophia memiliki sebuah ruang yang cukup besar untuk menampung dua komuniti agama itu. “Mari jadikan ini sebagai simbol kedamaian bagi umat manusia,” tulisnya melalui Twitter.
“Doa dan solat lebih sesuai untuk Hagia Sophia daripada pelancong yang berlari untuk mengambil gambar, ” katanya. Tetapi pandangan ini tidak diterima oleh golongan pembangkang yang ingin mengekalkan status Hagia Sophia sebagai muzium.
Hagia Sophia kembali menjadi subjek perebutan dua agama apabila kerajaan Turki telah membenarkan pembacaan Al-Quran di sana bagi memperingati pendudukan Konstantinopel oleh tentera Uthmaniyyah, 567 tahun yang lalu.
Usaha ini sebenarnya sudah dimulakan oleh organisasi Islam konservatif, Kesatuan Pekerja Yayasan Agama (Diyanet Bir-Sen). Parti pemerintah, AKP, juga telah lama melobi agar status Hagia Sophia diubah menjadi masjid. Pada tahun 2015, pemerintah Turki mengadakan acara keagamaan di Hagia Sophia, yang pertama dalam tempoh 80 tahun.
Hagia Sophia dibina oleh Empayar Byzantine sebagai gereja terbesar di dunia pada masa itu. Namun, statusnya sebagai gereja telah diubah menjadi masjid oleh Uthmaniah setelah berjaya menawan Konstantinopel dan ia berakhir sebagai muzium atas desakan Mustafa Kemal Ataturk pada tahun 1935.
Pada tahun 2019 Presiden Recep Tayyip Erdogan mengatakan “adalah kesalahan besar untuk mengubah (Hagia Sohpia) menjadi muzium. Dia juga berjanji untuk mengembalikan fungsi bangunan bersejarah itu sebagai masjid.
Pada masa ini status Hagia Sophia bergantung pada keputusan Danıştay, mahkamah tertinggi pentadbiran di Turki, yang akan diumumkan pada 2 Julai nanti.
Dahulu, seorang arkitek dari zaman Uthmaniah telah berjaya menghasilkan senibina indah yang mengatasi Hagia Sophia. Klik pautan di bawah untuk membaca.
Rupanya Inilah Arkitek Uthmaniah Yang Berjaya Hasilkan Senibina Indah Mengatasi Hagia Sophia
Bagaimana Anda Boleh Nikmati ‘Istanbul Tour’ Secara Percuma Dengan Turkish Airlines