Dunia K-Pop di media sosial baru-baru ini panas dengan siri ‘perang mulut’ atau pertelingkahan digital.

Namun, kali ini ia bukan melibatkan perbalahan antara fandom berbeza, tetapi melibatkan pertembungan antara peminat dari rantau Asia Tenggara dan peminat dari negara asal artis tersebut, iaitu Korea Selatan.

Isu peminat Korea (fansite) langgar peraturan di konsert DAY6 Malaysia akhirnya menjadi punca perbalahan terbuka. Suasana bertukar toksik apabila masing-masing mula saling mengeji dan menyerang antara satu sama lain di alam maya.

Ini puncanya

Segalanya bermula apabila beberapa peminat Korea yang juga dikenali sebagai ‘fansite’ telah didapati membawa masuk kamera lensa panjang ke dalam konsert tanpa izin.

Sedangkan penganjur sudah berpesan awal-awal peralatan seperti itu dilarang keras dibawa demi keselesaan orang ramai.

Keadaan semakin panas di platform X bila beberapa akaun K-netz mula ‘main kasar’. Bukan setakat enggan menerima teguran, tapi mereka sehingga tergamak melabel peminat Asia Tenggara (SEA) sebagai ‘miskin’ dan ‘tidak bertamadun’.

Dalam pada itu, K-Netz ini juga didapati menyamakan rupa paras wanita Asia Tenggara yang tengah marah  dengan monyet dan merasakan diri mereka lebih sempurna dan cantik.

Semuanya gara-gara tidakberpuas hati bila salah laku warga mereka di negara orang ditegur secara terbuka.

Oleh itu, netizen dari Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Filipina sepakat membidas segala tohmahan dan cacian rasis yang dilontarkan oleh segelintir K-Netz.

Malahan, peminat SEA kini bangkit melawan diskriminasi. Adalah satu ironi apabila peminat antarabangsa yang paling banyak menyokong jualan album dan angka streaming.

Namun masih ada segelintir K-netz yang bersikap bongkak dan memandang rendah kepada sokongan dari rantau ini.

Bagaimanapun, mereka tidaklah sekental yang disangkakan apabila rata-rata K-Netz yang biadap terbabit sudah pun menutup ruangan komen kerana tidak dapat menahan serangan dari tiga penjuru.

Laporan terkini, susulan kecaman hebat, salah seorang pelaku tampil memohon maaf dalam bahasa Indonesia menerusi platform X sambil mendakwa tindakannya berpunca daripada kegagalan mengawal emosi.

Bagaimanapun, rata-rata peminat menyifatkan tindakan itu sebagai ‘sudah terhantuk baru tengadah’ dan tidak memadai untuk memulihkan kerosakan yang telah berlaku.