Sepak Takraw League (STL) yang sudah memasuki tahun ke-10 semakin berjaya menarik minat ramai untuk mengikuti rapat perkembangan sukan tradisi itu.
Malah, sejak pemain import dibenarkan untuk beraksi dimana sudah pastinya majoriti pasukan mengambil tenaga dari Thailand, publisiti saingan paling berprestij tanah air itu turut mendapat perhatian meluas peminat di negara tersebut.
Baca Juga:
- STL 2024: Kedudukan Terkini Selepas Berakhir 2 Grand Prix
- STL 2024 GP Terengganu: KL Thunder Terlalu Unggul, Raih Kejuaraan Kedua
- Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Format Baharu Liga Premier STL 2024
Hakikat tersebut dapat disaksikan dalam satu kenyataan oleh pemain apit kiri Kuala Lumpur Thunder, Sirisak Anuloon yang dikeluarkan oleh salah satu laman media di Thailand iaitu Sanamtakraw.
Dalam kenyataan dikeluarkan, Sirisak yang beraksi pada perlawanan akhir Grand Prix (GP) Terengganu mengakui bahawa STL telah dianjurkan dengan cukup baik.
“Malaysia menganjurkan liga dengan sangat baik. Ia sangat elegan. Berbeza dengan Thailand, saya rasa Thailand tidak dekat dengan mereka (dalam soal penganjuran pertandingan).”
“Mereka menganjurkannya dengan sangat baik dalam setiap aspek. Terdapat ramai orang bersorak dan menonton perlawanan.”
“Walaupun harga tiketnya mahal. Tidak seperti Thailand, penyokong mereka begitu bersemangat dalam memberikan sokongan kepada pasukan,” tambah Sirisak lagi.
Bukan Sirisak sahaja yang memberikan pujian tetapi para peminat sepak takraw di Thailand juga menyokong kenyataan tersebut.
Tinjauan di ruangan komen juga menyaksikan ramai daripada mereka tanpa berselindung mengakui penganjuran STL lebih baik berbanding apa yang mereka saksikan di Thailand sendiri.
Malah turut ada yang mengatakan Thailand ketinggalan jauh dalam soal penganjuran pertandingan tempatan.
Legenda sepak takraw Thailand, Thaweesak Thongsai turut mengimpikan peluang untuk beraksi dalam saingan STL.
Beliau sebelum ini pernah merasai kehangatan bahang sepak takraw di Malaysia apabila mewakili Kuala Lumpur dalam saingan Piala Tun Ali 2023.