Pempengaruh media sosial, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin (Ija), dan adik lelakinya dijatuhi hukuman penjara sebulan serta denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini. Hukuman ini diberikan atas kesalahan membuat laporan palsu mengenai kehilangan Ija di Sungai Tui, Bukit Kepong, pada 14 Julai lalu.
Memetik Buletin TV3, Majistret Suzana Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 kepada pempengaruh Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin (Ija), 38, dan adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30.
Keputusan ini dibuat selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret sebaik pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut menetapkan bahawa Ija akan dipenjara tambahan tiga bulan, manakala Tengku Aziz pula enam bulan, sekiranya mereka gagal menjelaskan denda yang dikenakan.
Hukuman penjara bagi kedua-dua beradik ini berkuat kuasa serta-merta mulai hari ini, tarikh sabitan mereka.