Pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 akan disambung semula pada 30 Disember.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa Ocean Infinity telah mengesahkan ia akan memulakan semula operasi pencarian dasar laut selama 55 hari, yang akan dijalankan secara berselang-seli, petik New Straits Times.
Baca Juga:
- Harapan Baharu MH370: Saintis Dakwa Temui Lokasi Bangkai Di Lautan Hindi?

- Pakar Dedah Jumpa Lokasi ‘Persembunyian’ MH370

- 9 Tahun Jadi Misteri, Netflix Tampilkan Dokumentari Kehilangan MH370

“Pencarian akan dilakukan di kawasan sasaran yang dinilai mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk mengesan pesawat, selaras dengan perjanjian perkhidmatan yang dimeterai antara kerajaan dan Ocean Infinity pada 25 Mac,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut menambah bahawa perkembangan terbaharu ini menegaskan komitmen kerajaan untuk memberikan penutup dan kelegaan kepada keluarga yang terkesan dengan tragedi tersebut.
Sebelum itu, Jemaah Menteri telah bersetuju, secara prinsip, dengan cadangan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian bangkai MH370 di kawasan baharu di selatan Lautan Hindi pada Disember tahun lalu.
Kemudian, dalam satu hantaran Facebook, kumpulan MH370 Families memaklumkan bahawa Ocean Infinity telah menggantung operasi pencarian hanya tiga hari selepas menandatangani perjanjian dengan Kementerian Pengangkutan pada 25 Mac.
Pada 3 April, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan bahawa pencarian MH370 oleh Ocean Infinity telah digantung dan akan disambung semula pada penghujung tahun.
Loke berkata keputusan itu dibuat kerana keadaan cuaca semasa tidak sesuai untuk pencarian.