Pengurus Fazura, Iman Tang kesal dengan tindakan syarikat rakaman yang dianggap mengambil kesempatan.
Ini selepas syarikat rakaman tersebut melancarkan single – lagu duet – Fazura dan Fattah Amin hanya beberapa hari selepas pasangan tersebut sah bercerai di mahkamah.
Syarikat rakaman berpangkalan di Indonesia itu sudah mengumumkan tentang pelancaran lagu tersebut 10 Oktober ini.
Lagu tersebut akan boleh diakses oleh peminat menerusi pelbagai platform penstriman mulai Khamis ini. Lagu berjudul Bertahan Demi Cinta itu sudah dirakam lebih awal.
Dan promosi lagi tersebut sudah pun dibuat oleh syarikat tersebut.
Iman Tang tidak gembira dengan tindakan syarikat rakaman tersebut yang dianggap cuba menangguk dari air yang keruh. Malah ada yang menuduh Fazura dan Fattah Amin bercerai sebagai gimik untuk mempromosi lagu mereka.
Dan beliau menafikan pihaknya dan Fazura terlibat dalam pelancaran single terbaru itu.
Dipetik daripada laman Beautifulnara, Iman berkata: “Apa yang saya tahu perkara ini mungkin terjadi apabila berita (perceraian) ini sudah kecoh. Ini bukan masa yang tepat dengan tajuk lagu pula begitu.
“Sebab pada akhirnya, orang akan ingat mereka sekadar mahu jual lagu, gaduh-gaduh rupanya mahu jual tudung atau sambal ikan bilis.”
Beliau mengingatkan sebagai seorang muslim tidak seharusnya mengambil kesempatan di atas kesengsaraan orang lain.
“Sebagai orang Islam, kita tidak meminta tapi hormatilah jika seseorang melalui masa yang sukar. Jangan ambil kesempatan. Pakai otak,” tambah beliau lagi.
Beliau sendiri mengakui tidak tahu menahu tentang perancangan label berkenaan untuk lagu tersebut. Dan jika ianya sudah termaktub dalam kontrak, beliau hanya mampu melihat, dan memberikan amaran agar Fazura tidak sesekali mempromosi lagu tersebut.
Iman Tang berkata: “Kalau Fazura promosi lagu itu saya akan marah sebab cara ini tidak betul. Soal perceraian bukan bahan jenaka untuk diambil kesempatan.”