Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) melaporkan bahawa sebahagian besar syarikat penerbangan Malaysia gagal mencapai sasaran 85% ketepatan masa (On-Time Performance, OTP) bagi penerbangan antarabangsa pada bulan Mac.
Apa itu OTP?
Menurut Mavcom, OTP merujuk kepada perlepasan pesawat dalam tempoh 15 minit dari masa yang dijadualkan.
Jadi, semakin tinggi OTP, maka semakin efisien perlepasan pesawat. Dan pastinya ianya akan memudahkan urusan penumpang, terutamanya mereka yang ada urusan penting.
Malangnya, rata rata syarikat penerbangan Malaysia gagal menepati masa atau menepati kadar 85% OTP yang ditetapkan.
Hanya Firefly yang pantas di kalangan syarikat penerbangan Malaysia
Dalam satu kajian yang dibuat ke atas syarikat penerbangan Malaysia, telah mendedahkan bahawa hanya Firefly yang berjaya melepasi penanda aras tersebut.

Firefly mencatatkan OTP tertinggi sebanyak 87.8%. Yang bermakna, rekod tersebut adalah bulan keenam berturut-turut syarikat itu melebihi sasaran yang ditetapkan.
Air Asia X paling rendah laluan antarabangsa
Sebaliknya, AirAsia X mencatatkan prestasi paling rendah dengan hanya 79%, diikuti Batik Air (80.3%) dan AirAsia (83.4%) – untuk penerbangan antarabangsa.
Malaysia Airlines juga tidak mencapai sasaran, dengan mencatatkan OTP sebanyak 83.7% bagi penerbangan antarabangsa.
Air Asia paling rendah untuk laluan domestik

Bagi penerbangan domestik pula, AirAsia gagal mencapai sasaran dengan hanya 80.4%.
Namun begitu, AirAsia X mencatatkan kadar 87.5%, dikuti Batik Air (87.2%) dan MASwings (85.7%) berjaya melepasi paras 85% yang ditetapkan.
Apakah kesan prestasi OTP dan kadar pembatalan?
Selain OTP, satu lagi aspek penting yang harus dipatuhi syarikat penerbanga adalah kadar pembatalan.
Kadar pembatalan penerbangan bulanan juga tidak boleh melebihi 20%.
Mavcom menegaskan bahawa kegagalan mencapai sasaran OTP atau kadar pembatalan yang ditetapkan boleh menjejaskan permohonan syarikat penerbangan tersebut untuk pembaharuan perkhidmatan atau mendapatkan hak trafik udara tambahan.