Aksi Liga Super Turkiye kecoh awal pagi tadi apabila Presiden Kelab Ankaragucu bertindak menumbuk muka pengadil selepas pasukan lawan, Rizespor menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-9.

Insiden tersebut menjadi tular di media sosial dan menjadi bualan peminat bola sepak dari seluruh dunia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Faruk Koca masuk ke padang dan menumbuk pengadil Halil Umur Meler sebaik wisel penamat ditiup ketika aksi yang berakhir seri 1-1 di Stadium Eryaman, menurut rakaman video badan penyiar tempatan TRT.

Penyokong Ankaragucu menyerbu masuk ke padang selepas perlawanan itu dan pengadil tersebut turut ditendang. Meler akhirnya dibawa menuju ke bilik persalinan dengan diiringi polis.

Persekutuan Bolasepak Turkiye (TFF) dalam satu kenyataan menyifatkan insiden tersebut telah memalukan negara itu dan semua yang terlibat akan dihukum.

“Bola sepak Turkiye dimalukan malam ini. Setiap orang yang terbabit dalam insiden ini akan dihukum,” kata pengerusi TFF Mehmet Buyukeksi.

Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya turut mengeluarkan perintah penahanan terhadap Koca dalam satu siaran di X, sambil menambah dua orang sudah ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap insiden itu.

Meler telah bergelar pengadil FIFA sejak tahun 2017 dan memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa. Pengadil yang berusia 37 tahun itu telah  mengendalikan aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara antara Lazio dengan Celtic pada 28 November lalu.

Beliau pernah dijemput menjadi pengadil perlawanan Liga Pro Arab Saudi pada bulan Oktober lepas.

Mutu pengadilan di Liga Turkiye sering dikritik hebat oleh pengurus dan presiden kelab kerana keputusan mereka yang mencetus kontroversi tetapi jarang menjadi sasaran serangan ganas.

Insiden pukul pengadil tersebut memberi petanda kehilangan tahap kesabaran para presiden kelab dan Faruk Koca menjadi individu pertama yang melakukannya.