Cuaca dingin di jam 2 pagi. Suasana Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di waktu-waktu begini hening. Di layar skrin, kelihatan jadual yang memaparkan penerbangan ke Padang, Indonesia pada jam 7.40 pagi. Sebahagian pengembara memilih untuk tidur sebelum terbang menuju ke destinasi. Disebabkan tidak mahu menyusahkan orang untuk menghantar ke lapangan terbang pada waktu pagi buta, saya pilih untuk datang awal dan tidur di satu sudut KLIA2 yang senyap.

Ekspedisi kali ini adalah sebahagian jemputan AirAsia untuk merasa pengalaman hidup ditengah-tengah budaya Minangkabau yang tumbuh membesar dalam bandar metropolitan ketiga paling ramai penduduk di Sumatera. Padang yang terletak di pantai barat pulau Sumatera berhadapan dengan Lautan India adalah kawasan berbukit yang ditutup oleh hutan tebal yang berfungsi sebagai pelindung. Ia diduduki oleh 1.4 juta masyarakat yang mesra dengan senyuman dan pelukan.

Di jam 5 pagi, saya bangun dari tidur lalu menuju ke tandas. Selesai cuci muka dan gosok gigi, saya bertemu Adam, Megat dan Justin di Starbucks. Seperti saya, mereka juga dijemput oleh AirAsia untuk mewakili agensi masing-masing. Kami bereempat turut ditemani Ryan – wakil AirAsia – yang selepas ini dikenali sebagai Rian oleh teman-teman Indonesia, kata mereka ia nama bagi kearifan lokal.

Pesawat AirAsia AK0403 terbang meninggalkan KLIA2 tepat jam 7.40 pagi. Dari pandangan mata, tanah semenanjung emas perlahan-lahan menjadi kecil lalu hilang dalam gumpalan awan yang membentuk seperti gula-gula kapas. Sejam selepas itu, tanah Sumatera Barat kelihatan dari tingkap kapal terbang. Dataran hijau, wilayah metropolitan dan cuaca dingin dalam bahang Gunung Marapi menyambut kami turun di Lapangan Terbang Minangkabau.

***

Di bandara, Bapak Wide Fernando menjemput kami. Dia menyantuni dengan ucapan selamat datang dan lebaran senyuman, lalu memperkenalkan namanya serta tugas beliau sebagai pemandu pelancong sepanjang kami di Indonesia. Suara Pak Wide beralun dan bercampur dalam kesibukan kota padang. Di kiri kanan jalan berselerak sawah padi dan rumah-rumah masyarakat setempat. Rumahnya ada ditepi jalan dan ada juga yang ditengah sawah yang berbentuk seperti sebuah pulau. Seni bina rumahnya hampir sama, tidak kira dibuat menggunakan kayu atau batu, bumbungnya pasti akan dilengkapi dengan tanduk kerbau yang menjadi asas budaya masyarakat Minangkabau. Disebabkan masih awal pagi, jalan raya sedikit sibuk dengan kereta dan motor yang berlumba-lumba untuk sampai ke tujuan. Kami melintasi anak-anak yang berpakaian seragam sedang berjalan mahu ke sekolah, emak-emak yang sedang meregangkan badan sebelum memulakan senaman dan pak cik tua yang duduk melangut melihat-lihat orang.

Kenderaan kami menyelusuri Jalan Adinegoro, lalu membelok di Jalan Prof. Dr. Hamka, lalu belok lagi ke Jalan Sutan Syahrir. Dihujungnya nanti, kami akan memasuki Jalan Lintas Barat Sumatera, lalu terus menuju ke Pulau Mandeh. Pemandang bertukar bentuk daripada sawah meluas, menjadi kawasan bukit yang berdinding batuan keras.

Kawasan Mandeh, Sumatera Barat, Indonesia – The Vocket/Aiman

Jadual kami di kawasan mandeh tidak begitu padat. Hanya belayar di atas kapal selama dua jam sambil menikmati pemandangan pulau-pulau kecil yang terbentuk di tengah teluk. Mandeh ini masih dianggap perawan bagi masyarakat tempatan kerana ia jarang diteroka oleh pengembara luar. Sepanjang belayar, kami bertemu sapa dengan beberapa pulau antaranya Tarajun, Sironjong Besar dan Sironjong Kecil, Pulau Merak, dan Pulau Cubadak. Pemandangan kami kebanyakannya berdindingkan bukit hijau dan pokok bakau yang menjadi pelindung sebahagian pulau-pulau. Kumpulan kami berhenti makan di Pulau Sėtan, mereka hidang Nasi Ramas, Ikan Karang, Sambal Lado dan Bumbu Kelapa. Minuman kami pula air kelapa segar yang baru dipetik dari pohon disekitar pulau ini. Kami isi perut sambil melihat kumpulan emak-emak merakam kenangan di gigi pantai dengan bermacam gaya.

Petang menjengah laut dengan cahaya tajam dan matahari sudah mula bergeser ke barat. Perlahan-lahan mahu beransur, berganti tempat dengan bulan. Selesai keliling pulau, dari kapal kami bertukar kenderaan. Pacuan kami melaju pulang ke Kota Padang, menuju ke tempat penginapan.

***

Pak Wedi pagi-pagi lagi sudah menunggu di lobi Whiz Prime Hotel. Dia mengenakan baju berkolar warna gelap dan celana denim sambil ditangannya ada rokok yang masih belum dibakar. Dia menyapa saya dengan ucapan selamat pagi. Hari ini kami akan berkunjung ke Desa Kubu Gadang, kata Pak Wedi sambil menyalakan rokok. Hembusan pertama ditarik dalam-dalam, lalu asapnya ditiup naik meninggi ke udara, bergabung dengan jalanan yang sudah mula sibuk. Tepat jam 8 pagi, kami bergerak menuju destinasi.

Perjalanan ke Desa Kubu Gadang memakan masa hampir satu jam tiga puluh minit. Saya menghabiskan masa dengan tidur. Sampai sahaja di lokasi, kami di sambut oleh Kepala Desa Kubu Gadang. Saya rasa bersalah kerana tidak mencatat nama beliau. Mungkin disebabkan masih mamai dan mengantuk, saya jadi pelupa. Kepala Desa membawa kami ke satu dataran kosong yang dikelilingi oleh hamparan sawah padi, rumah kampung dan lembah Gunung Marapi. Rasa tenang dan nyaman menyelimuti suasana. Sarapan pagi kami dihidangkan dengan Pical, sebuah makanan yang berasaskan sayuran yang disiram dengan kuah kacang dan dihidangkan bersama-sama dengan Mee Kuning. Sambil makan, Kepala Desa menceritakan perihal Desa Kubu Gadang yang kini sudah dijadikan destinasi pelancongan sejak tahun 2015 lagi. Bahasa Indo beliau pekat, jadi ada beberapa perkataan yang saya kurang cermat untuk faham. Tetapi menurut kefahaman saya, Desa Kubu Gadang menawarkan pelbagai pengalaman menarik buat mereka yang mahu hidup dalam budaya Padang yang penuh alami. Disini ekonomi penduduk tempatan kebanyakannya terarah kepada pertanian dengan hampir keseluruhan rumah di sini mengusahakan sawah padi. Kata Kepala Desa, ada pelancong yang tinggal lama di sini dan ada juga yang balik dengan membawa pulang ilmu bercucuk tanam. Hampir setengah hari kami habiskan masa di sini, kami dihidangkan dengan makanan yang enak dan cerita-cerita kecil warga Kubu Gadang, kami juga diberi kesempatan melihat pertunjukan Silek Lanyah, sebuah aksi seni bela diri yang tumbuh dalam para jiwa anak-anak Minangkabau.

Penduduk tempatan mempersembahkan Silek Lanyah. Desa Wisata Kubu Gadang, Padang Panjang – The Vocket/Aiman

Selesai makan, kami bawa diri daripada Desa Kubu Gadang ke Istana Basa Pagaruyuang. Perjalanan ke Istana tidak mengambil masa yang lama, jadi Pak Wide bawa kami makan tengahari dahulu di Rumah Makan Sawah Laman. Kami dihidangkan dengan Nasi Putih, Rendang, Daging Cancang, Ikan Bakar, Dendeng Bakar, Dendeng Lambok dan beberapa sayur-sayuran seperti Daun Singkong, Pupuk, Cabai Hijau dan Terung Bakar bersama Ikan Sepat Jengkol. Kami makan dengan lahap.

Di Istana Basa Pagaruyuang kami bertemu dengan Bapak Yoseptian Suheri. Beliau orang asli Minangkabau, lahir dan membesar di Padang dan kini bekerja sebagai pemandu pelancong untuk Istana Basa Pagaruyuang. Pak Yosep petah berbahasa melayu kerana beliau sering membawa pelancong Malaysia ke Padang, jadi sepanjang di sana kami banyak berkomunikasi menggunakan bahasa melayu. Kata Pak Yosep, istana ini merupakan kediaman dan pusat pemerintahan raja-raja Minangkabau dari Kerajaan Pagaruyung yang diasaskan pada tahun 1347. Perjalanan kerajaan ini agak jauh dan melalui dua fasa keagamaan iaitu agama Buddha dan Islam. Difahamkan juga, tapak asal istana ini sebenarnya di atas bukit, namun disebabkan kesan perang saudara dan penjajahan Belanda, replika istana di bina di kaki bukit dan yang kami lewati kini bukan banggunan asli, namun rupa dan bentuknya seakan-akan yang asli.

Pengunjung di Istana Basa Pagaruyung – The Vocket/Aiman

Walaupun istana ini adalah pusat pemerintahan. Tetapi kebanyakan ruang di istana ini dikhaskan untuk wanita. Di lantai satu terdapat singgahsana dan kamar untuk raja dan wanita yang sudah berkahwin. Lantai dua juga kamar bagi anak perempuan yang belum berkahwin. Manakala lantai tiga pula adalah ruang tempat penyimpanan harta dan bilik perbincangan untuk raja membuat keputusan. Istana ini sebenarnya adalah simbolik kepada kekuasaan perempuan kerana budaya Minangkabau itu sendiri mengutamakan wanita. Hujahnya adalah kerana reka bentuk dan fungsinya dibina untuk menyempurnakan seorang perempuan. Walaupun terdapat raja, tetapi kekuasaannya terhad kepada hal-hal politik. Manakala di istana ini, setiap sudut ruang adalah kepunyaan perempuan. Bilik, ruang legar mahupun singgahsana yang terkenal dengan tempat duduk raja adalah milik ibu kepada si raja. Manakala anak lelaki pula diminta untuk keluar merantau dan bila pulang nanti, bilik tidurnya adalah di surau yang terletak di bahagian belakang istana. Tapi Pak Yosep kurang setuju, kata dia perkataan ‘kuasa’ itu terlalu besar dan dia memilih untuk menggunakan kata ‘hormat’, di mana budaya Minangkabau itu mengangkat wanita setara dengan lelaki. Bukan untuk diagung, tetapi untuk dihormati. Tetapi ada satu hal yang kami setuju iaitu masyarakat Minangkau sebenarnya adalah pelopor kepada gagasan feminism sebelum kata ‘feminism’ itu sendiri wujud.

Selesai foto tanda kenang-kenangan, kami bergerak ke tempat penginapan di Sikabu Glamping. Perjalanan ke sana hampir 2 jam. Saya banyak habiskan masa dengan tidur dan berehat.

Satu bilik di sini berharga sehingga hampir Rm400. Sikabu Glamping, Kabubaten Lima Puluh Kota – The Vocket/Aiman

Sampai sahaja di Sikabu, kami perlu tukar kenderaan untuk ke tempat penginapan kerana kawasannya jauh ke dalam hutan dan berada di atas bukit. Pertama kali sampai di sini, saya sudah merasa takjub. Di puncak bukit, berhadapan sawah luas terbentang dan ditambah pula pemandangan Kota Padang, ia memberi satu suasana tenang di tengah-tengah keasingan. Tempat ini diusahakan oleh Pak Irfan iaitu seorang doktor. Beliau tidak membeli tanah atau kawasan ini, tetapi mengajak pemilik tanah untuk sama-sama mengusahakan perniagaan ini. Hasil pula dibagi 60:40. Petang itu matahari terbenam perlahan dalam kesejukan Sikabu Glamping. Selesai makan malam berlaukkan nasi dan ayam bakar, kami duduk bersembang di hadapan unggun api sambil ditemani kopi panas.

***

Sikabu Glamping menyambut pagi dengan perlahan dan sunyi. Matahari yang naik dari belakang puncak bukit pada jam 6:30 pagi menuaikan cahaya yang lembut. Menampakkan warna hijau sawah padi. Di hadapan bilik, awan karpet bertebaran menutup kota padang. Saya bangun, cucuh rokok dan duduk termenung melihat pemandangan.

Selesai makan pagi, kami bersiap keluar. Hari ini acaranya santai sedikit. Selesai makan pagi, kami duduk bersama masyarakat setempat tengok acara Pacu Itiak atau dalam bahasa mudahnya lumba itik. Kata orang kampung, acara yang dimainkan sejak 1926 ini hanya dimainkan di dua tempat. Pertamanya adalah di sini – Sikabu-Kabu Lima Puluh Kota – dan kedua adalah Kota Payukumbah. Budaya lumba itik yang ditafsirkan sebagai nilai kejujuran dan patriotisme bagi jati diri bangsa Indonesia ini telah berada bersama kumpulan 75 Warisan Budaya Tak Benda Indonesia. Pacu Itiak ini sudah dianggap satu sukan oleh pemerintah, jadi PORTI (Persatuan Olah Raga Terbang Itiak) diwujudkan untuk mengurus acara ini.

Selepas tengok Pacu Itiak, kami menuju ke Lubuk Alung Padang Pariaman, di sana kami akan berakit sambil cabar diri lawan arus Sungai Batang Anai. Sungai ini dikatakan mengalir dari Lembah Anai hingga ke Kota Padang. Dinding semula jadi berwarna hijau dalam cuaca sungai yang dingin menangkap-nangkap rasa sejuk. Ada bahagian yang merbahaya, kami rakit penuh tenaga. Di bahagian tenang, kami layan pemandangan Batang Anai yang berhulu di Singgalang dan bermuara di Hindia. Sungai ini jadi saksi kami gelak, senyum, takjub dan rendah diri.

**

Saya bangun awal dan tunggu di lobi. Malam tadi selepas pulang berakit Pak Wedi minta kami turun ke lobi awal. Selain itu dia ingatkan untuk kami kemas bagasi, penerbangan pulang kami jam 5 petang, jadi Pak Wedi mahu habiskan sisa masa kami di Sumatera Barat. Mulanya kami dibawa membeli ole-ole. Saya beli kain batik dengan motif slobong. Kainnya warna hijau dan ditengah-tengahnya terdapat rumah adat Minangkabau yang dilukis kecil tetapi memenuhi kain. Corak ini dekat dan terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan. Selesai membeli, kami ke WDC Coffee Process, tempat proses biji kopi dengan cara kearifan lokal. Mereka terangkan kepada kami dari proses menanam hinggalah menjadi biji kopi. Prosesnya rumit, tetapi berbaloi. Sebab itu Indonesia kini antara 3 negara pengeluar kopi utama di dunia, ada Vietnam dan Brazil di hadapan mereka. Saya minta kopi latte dengan biji Robusta. Sedap. Saya tidak mahu jadi ‘terpaling’ kopi, tetapi jika ada sesiapa yang ke sini nanti, sila cuba kopi dari toko ini. Anda mungkin tak menyesal dan akan beli 500g biji kopi untuk di bawa pulang ke Malaysia.

Selepas hampir 2 jam di WDC Coffee Process, kami bergerak ke Bandara Internasional Minangkabau. Jalan mendung, hari seperti mahu hujan. Ada harapan kecil, minta-minta penerbangan ke Malaysia ditangguhkan beberapa jam. Harapan itu mungkin lahir dari perasaan malas untuk kembali kepada realiti kerana perkara paling ‘potong’ bila mengembara adalah perjalanan pulang. Badan seolah terasa sudah terbiasa untuk hidup di jalanan, entah-entah ini adalah sebahagian diri sendiri. Boleh jadi ini juga adalah tanda bahawa saya lebih asyik dijalanan, berbanding pulang. Atau saya sudah disihir dengan cantik dan peramahnya Indonesia. Sehingga membuak dalam diri bahawa perjalanan pulang kali ini menyeksakan.

Lamunan saya kembali, lalu membentuk realiti lapangan terbang yang penuh dengan manusia yang tersenyum dan ada juga yang menangis sambil mengucapkan selamat jalan. Pak Wedi parkir kereta nya tepat di hadapan pintu masuk lapangan terbang. Kami mengucapkan selamat jalan buat Pak Wedi lalu berpelukan sambil mendoakan kesejahteraan masing-masing. Jumpa lagi pak, kata dia sebelum memandu laju meninggalkan ruang lapangan terbang.

Suara pengumuman dari pembesar suara menenggelamkan bunyi riuh manusia di ruang legar bandara. Kedengaran panggilan terakhir pesawat AirAsia AK0403 mahu berlepas pulang ke Kuala Lumpur. Saya beratur bersama-sama penumpang lain, kemudian seorang demi seorang dijemput masuk ke dalam perut kapal terbang. Lima minit selepas itu, kami berlepas meninggalkan Kota Padang. Pemandangan Sumatera Barat menjadi semakin kecil dari tingkap pesawat sebelum hilang ditutup awal tebal. Sejam selepas itu, langit bertukar gelap dengan cuaca hujan jatuh di tanah Semenanjung Malaysia. Lampu jalan bertebaran, kelihatan rumah-rumah dalam bentuk yang kecil. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, saya menggalas kembali realiti, mengendong ia untuk dibawa pulang ke ruang kecil bersama-sama diri saya sendiri.