Pernah tak anda terfikir mengapa ramai rakan sebaya atau graduan baharu hari ini sukar mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka?

Realitinya, pasaran buruh di Malaysia ketika ini sedang mengalami ketidakseimbangan yang agak ketara. Isu ini bukan sekadar persepsi, sebaliknya disokong oleh data kajian yang menunjukkan jurang peluang kerja kini semakin melebar.

Jurang Pekerjaan Baharu yang Makin Melebar

Memetik laporan Berita Harian,  penyelidik PNB Research Institute (PNBRI), Farhana Roslan, menerusi kajian bertajuk A Good Jobs Strategy for Malaysia, kemasukan baharu tenaga buruh selepas ekonomi dibuka semula dianggarkan kira-kira lima kali ganda berbanding jumlah pekerjaan baharu yang dicipta.

Nisbah ini meningkat berbanding era sebelum pandemik, di mana kemasukan baharu adalah sekitar tiga kali ganda.

Dalam tempoh lima tahun sehingga 2025, lebih 1.7 juta kemasukan bersih direkodkan dalam pasaran kerja.

Walaupun kadar pengangguran utama kelihatan rendah, Farhana menjelaskan bahawa ramai pencari kerja sebenarnya diserap oleh sektor tidak formal dan ekonomi gig. Keadaan ini menimbulkan persoalan sejauh mana kadar pengangguran rasmi mencerminkan situasi sebenar di lapangan.

Nasib Graduan dan Peluang Kerja Berkemahiran Tinggi

Cabaran paling nyata dirasai oleh golongan berpendidikan tinggi. Data kajian menunjukkan jumlah graduan diploma dan ijazah adalah kira-kira tujuh kali ganda berbanding jawatan berkemahiran tinggi yang diwujudkan setiap tahun.

Bagi pemegang ijazah sahaja, nisbahnya mencatatkan 4.5 kali ganda.

Lebih mencabar, kurang satu pertiga daripada pekerjaan baharu pada tahun 2025 dikategorikan sebagai berkemahiran tinggi. Kebanyakan jawatan baharu bertumpu dalam sektor perkhidmatan asas seperti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, serta pengangkutan.

Hanya sebahagian kecil datang daripada subsektor berpendapatan tinggi seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) atau perkhidmatan kewangan.

Isu Gaji Rendah dan Kesan Kepada Pekerja Muda

Ketidakseimbangan struktur ini memberi tekanan langsung kepada paras gaji. Kira-kira 30 peratus pekerja sektor formal berada dalam kategori bergaji rendah pada Disember 2025, berdasarkan garis gaji RM2,064.

Angka ini jauh lebih tinggi berbanding purata negara OECD iaitu 13.9 peratus pada 2024.

Golongan muda berusia 25 hingga 29 tahun menjadi kelompok yang paling terkesan

Median gaji sebenar mereka pada tahun 2024 dicatatkan RM238 lebih rendah berbanding paras sebelum pandemik pada 2019. Perkembangan ini membuktikan bahawa usaha mewujudkan pekerjaan berkualiti dan penstrukturan gaji wajar menjadi fokus utama demi masa depan tenaga kerja negara.