Pengasas dan Pengarah Eksekutif KK Group of Companies, Datuk Seri Dr KK Chai dinamakan sebagai Usahawan Terbaik Tahun Ini pada Anugerah SEBA 2024 yang berlangsung baru-baru ini, lapor Berita Harian.
KK Group of Companies adalah pemilik kepada rangkaian pasar mini terkemuka, KK Supermart atau lebih dikenali ramai sebagai KK Mart.
Baca Juga:
- ‘124 Hari Penuh Sengsara Dalam Hidup Saya Dan Keluarga’ – Pengasas KK Mart
- Stoking Kalimah Allah, Pengasas Dan Pengerusi KK Mart Terlepas Daripada Hukuman
- ‘Tindakan Boikot Terhadap KK Mart Bertentangan Dengan Sunnah Rasulullah SAW’ – Mufti Perak
Edisi ke-11 Anugerah SEBA bertemakan ‘Beyond Boundaries | Taking Connections Further’ bertujuan untuk memberi pengiktirafan dalam industri keusahawanan di rantau ASEAN.

Anugerah tersebut untuk memberi pengiktirafan kepada pemimpin dan pelopor industri yang berjaya memperluaskan peluang dalam pelbagai bidang keusahawan iaitu pertanian, pembinaan, runcit, teknologi, kewangan, kesihatan dan hartanah.
Langkah ini mengukuhkan lagi komitmen SEBA untuk memupuk pertumbuhan dan kecemerlangan di rantau ASEAN.
Acara berprestij ini dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Hadir sama, tokoh dan usahawan terkemuka, inovator industri, dan pemegang taruh ekonomi ASEAN.

Dalam ucapannya, Juhar memuji komitmen SEBA dalam usaha memupuk kecemerlangan dalam industri.
“SEBA adalah mercu inspirasi bagi usahawan ASEAN, mengetengahkan bakat yang melangkaui sempadan. Saya amat berbesar hati diberi peluang menyaksikan pengiktirafan ini, tahniah kepada penganjur yang menghargai usaha usahawan dan inovasi,” katanya.
Anugerah SEBA tahun ini mengetengahkan pelbagai pemimpin yang berjaya dari pelbagai sektor, meraikan peranan mereka dalam memacu pertumbuhan dan menetapkan standard baharu di seluruh rantau ini.
Pengerusi Yayasan Usahawan Malaysia dan Pengasas Anugerah SEBA, Datuk Nitesh Malani, berkata Anugerah SEBA memberi inspirasi buat usahawan untuk melangkaui batasan, meningkatkan standard industri, dan menyumbang kepada masyarakat ASEAN yang berdaya tahan dan saling berkomunikasi.
“SEBA telah benar-benar berkembang ‘Melangkaui Batasan’ dalam skop dan impaknya,” katanya.
Dalam meneruskan misinya untuk memperjuangkan keusahawanan, Edisi Utara akan berlangsung di Pulau Pinang pada Februari 2025 diikuti Edisi Borneo pada Jun 2025, dengan pencalonan kini dibuka.
Fasa seterusnya ini menandakan komitmen SEBA dalam memupuk kecemerlangan perniagaan serantau dan inovasi di seluruh Malaysia dan ASEAN.