Pavel Durov, 40 tahun, pengasas bersama platform popular Telegram, mengejutkan dunia apabila mendedahkan bahawa beliau mempunyai sekurang-kurangnya 106 orang anak – enam daripadanya hasil daripada hubungan intim, manakala selebihnya daripada sumbangan sperma di 12 negara berbeza, lapor Yahoo News.
Dalam satu temubual eksklusif bersama Le Point, hartawan teknologi itu berkata, semua anak-anaknya berhak mendapat layanan yang sama dari segi pembahagian harta.
“Tiada bezanya bagi saya, sama ada mereka dikandung secara semula jadi atau lahir daripada sumbangan sperma. Mereka semua anak saya dan mempunyai hak yang sama,” kata Durov.
Nilai kekayaan Durov dianggarkan sekitar AS$17.1 bilion (kira-kira RM80 bilion), menurut Forbes.
Harta Tak Boleh Dimiliki Dengan Mudah
Namun, beliau tidak mahu anak-anaknya menerima harta itu dengan mudah.
Durov memaklumkan bahawa semua waris hanya dapat mengakses bahagian masing-masing selepas 30 tahun dari tarikh temubual itu, iaitu 19 Jun 2055.
Beliau berkata, langkah ini bertujuan memberi peluang kepada anak-anaknya untuk berdikari dan berjaya dengan usaha sendiri.
“Saya mahu mereka hidup seperti orang biasa, membina jati diri sendiri, belajar mempercayai kemampuan sendiri dan tidak bergantung pada harta semata-mata,” tegas Durov.
Selain itu, hartawan teknologi itu juga menjelaskan bahawa pembahagian harta ini dilakukan kerana risiko tinggi yang dihadapinya dalam kerjayanya bersama Telegram.
Kontroversi Telegram
Aplikasi yang dilancarkannya pada tahun 2013 itu memang terkenal dengan sistem privasi dan mesej, tetapi teknologi itu juga menjadikan platform sasaran kritikan dari pihak berkuasa.
Pada Ogos 2024, pihak berkuasa Perancis pernah mendakwa Durov atas tuduhan terbabit dalam membenarkan platform itu digunakan bagi tujuan jenayah seperti penderaan kanak-kanak, pengedaran dadah dan penipuan.