Jabatan Imigresen Negeri Johor telah menjalankan operasi penguatkuasaan di dua pasar malam berbeza di negeri ini berikutan aduan awam mengenai isu pengemis warga asing.
Operasi yang dijalankan pada 3 Februari (Isnin) sekitar jam 7 malam di Kampung Melayu Majidee dan Taman Abad telah membawa kepada penahanan 18 pengemis warga asing.

Pengemis Warga Asing: Datang dari Pelbagai Negara
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pagi ini (5 Februari), pengarah Jabatan Imigresen Negeri Johor, Dato’ Hj Mohd Rusdi, mendedahkan bahawa mereka yang ditahan terdiri daripada pelbagai warganegara:

4 warganegara China
4 warganegara Thailand
3 lelaki dan 1 wanita dari Kemboja
2 lelaki dan 2 wanita dari Syria
1 warganegara Bangladesh
1 warganegara Pakistan
Guna Kekurangan Diri Untuk Raih RM18,000 Sebulan
Dato’ Hj Mohd Rusdi juga menyatakan bahawa sebahagian daripada pengemis warga asing ini adalah orang kurang upaya (OKU) dan mereka menggunakan kecacatan mereka untuk menarik simpati pengunjung pasar malam.
Umur mereka yang ditahan adalah antara 40 hingga 69 tahun.
“Hasil siasatan, kami mendapati bahawa mereka ini boleh memperoleh purata RM600 sehari,” kata Dato’ Hj Mohd Rusdi.

Jika dikira, pendapatan mereka boleh mencecah sehingga RM18,000 sebulan, iaitu peningkatan berbanding operasi sebelum ini di mana pengemis boleh memperoleh sekitar RM12,000 sebulan.
Semua pengemis warga asing yang ditahan telah dibawa ke ibu pejabat Jabatan Imigresen Johor untuk siasatan lanjut.

Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963.
Di akhir kenyataannya, Dato’ Hj Mohd Rusdi mengingatkan semua warga asing di Malaysia untuk mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
Difahamkan kejadian ini terjadi mungkin disebabkan beberapa faktor, antaranya kurangnya peluang pekerjaan yang ditawarkan di Malaysia.
Walaupun mereka datang ke Malaysia dengan harapan mencari pekerjaan, kekurangan dokumen yang sah atau kemahiran yang diperlukan mungkin menyukarkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa mereka ini sanggup mengambil kesempatan atas baikkan sikap rakyat Malaysia.
Seperti yang dilaporkan, ada pengemis yang boleh memperoleh sehingga RM600 sehari, yang jauh lebih tinggi daripada pendapatan purata di negara asal mereka.
Ini mungkin menjadi motivasi utama untuk terus mengemis walaupun badan masih cukup sifat.