Perodua membuat kejutan besar dalam dunia automotif Malaysia dengan pelancaran konsep kenderaan elektrik (EV) terbaru mereka, kereta EV Perodua eMO-II.
Kereta ini yang digelar sebagai “Electric Myvi” dilancarkan semasa acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 dan terus mencuri perhatian rakyat serantau, termasuk di Indonesia.
Tak hairan sangat bila komen seperti ‘Pengen pindah negara’ muncul dalam perbincangan netizen selepas pelancaran konsep kenderaan EV pertama buatan Malaysia.
Perodua eMO-II tampil dengan reka bentuk futuristik yang jauh berbeza daripada model-model Perodua sebelum ini.
Tetapi yang lebih mendapat sambutan adalah sasaran harga EV ini, iaitu di bawah RM90,000.
Dengan harga sebegini, Perodua bukan sahaja mensasarkan pengguna Malaysia, tetapi berpotensi membuka peluang eksport ke negara-negara jiran seperti Indonesia.
Kereta elektrik ini juga didakwa mampu menempuh jarak 400km dengan sekali cas penuh, hasil daripada penggunaan bateri LFP 50kWh yang disediakan oleh CATL, salah satu pengeluar bateri ternama dunia.
Dalam hal pengecasan, kereta ini memerlukan masa sekitar 8 jam untuk pengecasan AC penuh, manakala pengecasan DC dari 30% hingga 80% hanya mengambil masa sekitar 30 minit.
Walaupun dalam kategori hatchback, Perodua eMO-II mengambil berat dalam aspek prestasi.
Syarikat itu menyasarkan kelajuan pecutan dari 0 ke 100km/h kurang daripada 7 saat – jarang berlaku untuk EV dalam julat harga seperti ini.
Pelancaran Perodua eMO-II mencetuskan pelbagai reaksi dari netizen Indonesia, terutama selepas kereta nasional mereka seperti Esemka yang sering dinanti-nantikan itu hanya tinggal ‘janji manis’.
Di media sosial Kumparan, komen seperti “Kapan Indonesia punya kayak gini?” atau “Malaysia makin maju, kita kapan?” membanjiri perbincangan.
Tidak kurang juga yang menyatakan keinginan mereka untuk memiliki model ini seandainya dilancarkan di Indonesia.
Bagi rakyat Malaysia, projek ini adalah simbol kemajuan teknologi tempatan dan keberanian Perodua untuk bersaing dalam pasaran EV global.
Untuk rekod, Perodua menyasarkan pengeluaran sebanyak 500 unit sebulan dalam fasa awal, dengan pelancaran rasmi model ini dijangka pada tahun 2025.
Langkah ini bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk beralih kepada EV dengan harga mampu milik tetapi juga berpotensi menjadikan Malaysia pemain utama dalam industri EV di Asia Tenggara.