Pada 11 Mei 2024, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan perubahan besar dalam struktur akaun pengguna.

Perubahan ini merangkum pengenalan tiga akaun baru yang menggantikan sistem lama Akaun 1 dan Akaun 2.

Menurut Siraj Fahmi, Perancang Kewangan, perubahan yang dilakukan oleh KWSP adalah seperti berikut.

    1. Akaun Persaraan: Akaun ini menggantikan peranan Akaun 1 dalam sistem lama. Ia akan menjadi tempat penyimpanan utama untuk dana persaraan.
    2. Akaun Sejahtera: Akaun ini menggantikan Akaun 2 dalam sistem lama. Selain sebagai tempat penyimpanan dana persaraan, ia juga akan berfungsi sebagai tempat untuk dana kesejahteraan.
    3. Akaun Fleksibel: Akaun ini adalah penambahan baru dalam struktur KWSP. Ia akan membolehkan ahli menyimpan dana dengan lebih fleksibel dan memberikan akses yang lebih mudah untuk pengeluaran dana.

Selain itu, Siraj juga berkongsi  mulai dari 11 Mei, pecahan dana yang masuk ke KWSP akan dipecahkan seperti berikut:

    1. 75% akan dimasukkan ke Akaun Persaraan.
    2. 15% akan dimasukkan ke Akaun Sejahtera.
    3. 10% akan dimasukkan ke Akaun Fleksibel.

Ahli KWSP juga akan diberi pilihan untuk memindahkan sebahagian dana dari Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

Pemindahan ini boleh dilakukan melalui i-Akaun atau self-service terminal di pejabat KWSP antara 11 Mei dan 31 Ogos.

Siraj menyatakan bahawa kelebihan kepada penstrukturan semula sistem akaun KWSP ini bakal memberikan lebih fleksibiliti kepada ahli untuk mengakses dana mereka dengan lebih mudah, terutama dalam keadaan kecemasan.

Bagi mereka yang mahir dalam pelaburan, Akaun Fleksibel dapat dijadikan sumber modal tambahan.

Manakala kekurangannya pula adalah pengeluaran berlebihan dari Akaun Sejahtera untuk Akaun Fleksibel boleh mengganggu perancangan dana persaraan.