Ketua jurulatih skuad kebangsaan Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic berpendapat Oman merupakan pasukan pilihan dalam kumpulan D menjelang perlawanan menentang Malaysia dalam saingan kelayakan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Stefan berkata demikian dalam satu sidang media baru-baru ini dan beliau menyasarkan untuk membawa pulang tiga mata dari Bukit Jalil memandangkan ini merupakan perlawanan pertama dalam saingan kelayakan kali ini.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

“Saya suka tekanan dan perkara ini normal dalam bola sepak. Ini adalah perlawanan terbesar saya (menentang Malaysia) selain langkah pertama dalam misi untuk layak ke Piala Dunia.

“Semua pihak mengimpikan untuk layak ke Piala Dunia. Kami perlu melepasi saingan pusingan kedua terlebih dahulu dan kami akan berjuang sehabis baik untuk memastikan kami layak ke pusingan seterusnya.

“Walaupun Oman pasukan pilihan, saya masih merasakan semua pasukan mampu untuk memberikan cabaran. Saya rasa dua pasukan yang layak ke pusingan ketiga akan diputuskan pada aksi terakhir kelayakan nanti,” katanya.

Pada masa yang sama, Stefan menegaskan skuad Harimau Malaya ketika ini merupakan sebuah pasukan yang bagus dan akan memberi kesukaran kepada Kyrgyzstan.

“Malaysia adalah pasukan yang cukup bagus. Mereka sudah pasti sudah membuat persiapan rapi. Kami mengkaji pasukan dan pemain lawan pada perlawanan yang lepas. Kami sudah membuat persediaan dan kita nantikan bagaimana aksi kedua pasukan nanti,” tambahnya.

Selepas berdepan Kyrgyzstan, Malaysia akan terbang ke Chinese Taipei untuk menghadapi perlawanan kedua dalam kumpulan D manakala Kyrgyzstan akan menerima kunjungan Oman di laman sendiri.