Pada awal Ogos lalu ujian rintis penggunaan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) telah dilaksanakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Terbaharu, Divisyen Tol IJM sudah mula melaksanakan sistem SPT di Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) bermula semalam, 26 Ogos, Sabtu.

Baca Juga:

Ketua Pegawai Operasi Divisyen Tol IJM, Chua Lay Hoon berkata, pelaksanaan ujian rintis itu selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menyediakan kaedah pembayaran alternatif kepada pengguna lebuh raya.

“SPT membolehkan pengguna lebuh raya membayar tol dengan menggunakan kad debit, kad kredit atau kad prabayar, selain kaedah sedia ada seperti Touch ‘n Go (TnG), SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), sekali gus memberi alternatif baharu kepada pengguna dalam proses pembayaran tol.

“Dalam tempoh ujian rintis ini, lorong yang menyediakan SPT dapat dikenal pasti melalui papan tanda khusus di gantri untuk membantu pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pengguna lebuhraya perlu memastikan baki kad debit atau kredit mencukupi terlebih dahulu sebelum melalui lorong tersebut.

Sekiranya transaksi menggunakan kad bank gagal, pengguna masih boleh menggunakan kad TnG.

“Divisyen Tol IJM berharap pelaksanaan kutipan tol secara SPT ini dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya, di samping membantu melancarkan operasi kutipan tol,” katanya.

Sumber