Pengendali salah sebuah kelab Liga Belgium, KV Mechelen iaitu Besnik Hasi mendoakan agar pasukan Indonesia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam temasya Piala Asia 2023.

Ini kerana beliau mahu salah seorang pemain iaitu Sandy Walsh agar segera kembali ke kelab itu kerana beliau merupakan salah satu pemain penting bagi kelabnya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Besnik risau kelabnya tidak dapat dibarisi oleh pemain terbaik pada tahun baru 2024 nanti ekoran selain Sandy yang beraksi di Piala Asia, seorang lagi pemain iaitu Mory Konate bermain di Piala Afrika bersama Guinea.

“Kami harus memikirkan semuanya. Kedua-dua pemain akan terlepas aksi menentang AA Gent. Saya hanya berharap pasukan negara mereka tidak layak ke peringkat seterusnya.

“Sudah tentu saya tidak gembira. Saya risau setiap hari. Pasukan lawan kami masing-masing diperkuatkan oleh pemain terbaik mereka. Kami harus menyelesaikan masalah ini,” kata Besnik.

Sandy membuat penampilan pertama bersama skuad Garuda pada Ogos tahun ini ketika pasukan itu turun menentang Turkmenistan dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa yang menyaksikan pasukan itu mencatat kemenangan 2-0.

Pemain berusia 28 tahun itu yang mempunyai darah Indonesia menerusi ibunya diletakkan di posisi pertahanan kanan dalam sistem tiga pemain pertahanan yang digunakan oleh Shin Tae-yong.

Indonesia diletakkan dalam kumpulan D dalam temasya Piala Asia 2023 bersama Jepun, Iraq dan Vietnam.