Kegelisahan meresap di kalangan masyarakat Malaysia selepas laporan media asing yang menggemparkan dengan dakwaan mengenai rencana pengurangan subsidi bahan api oleh kerajaan menjelang Jun ini.
Laporan itu mengaitkan langkah tersebut dengan kenaikan harga diesel dan petrol dalam tempoh selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang dijadualkan pada 11 Mei ini.
Baca Juga:
- Kelantan Akan Buka Dua Stesen Minyak Tanpa Subsidi Untuk Warga Asing
- Stesen Minyak Yang Menjual Minyak Bersubsidi Secara ‘Haram’ Bakal Didenda Sehingga RM3 Juta
Langkah pengurangan subsidi ini telah menimbulkan kebimbangan terutama di kalangan pengusaha bas tempatan.
Menurut laporan Majoriti, Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) menyuarakan keberatannya terhadap gagasan ini.
Pengarah Urusan PEMBAWA, Laili Ismail, menegaskan bahawa pengurangan subsidi tidak hanya akan memberi kesan terhadap syarikat pengusaha bas, tetapi juga akan memberi impak kepada golongan masyarakat B40.
Laili menjelaskan bahawa kenaikan kos bahan api akan mengakibatkan peningkatan dalam kos operasi, termasuk gaji pemandu bas.
Ini kemungkinan akan menyebabkan kenaikan harga tiket bas, yang pada gilirannya akan memberi kesan kepada pengguna, terutama golongan pelajar yang sering menggunakan perkhidmatan bas awam.
Bagi menangani krisis ini, Laili mencadangkan agar kerajaan bertindak adil dengan pihak pengusaha bas dengan memperbaharui fasiliti setiap syarikat.
Dia menyarankan agar setiap bas dibezakan mengikut kelas, dengan harga tiket yang dikenakan bersesuaian dengan spesifikasi bas tersebut.
Ini, menurutnya, akan membantu pengurusan syarikat bergerak secara efisien dan stabil dengan kos kenaikan bahan api jika subsidi dikurangkan.
Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal laporan tersebut, menyifatkannya sebagai tidak beretika dan tidak dapat dipercayai.
Beliau menekankan bahawa belum ada keputusan muktamad yang dibuat oleh jemaah menteri mengenai isu pengurangan subsidi bahan api.