Pihak berkuasa di Johor telah diarah untuk membatalkan lesen perniagaan pengusaha cucian kereta yang enggan memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia dan hanya melayan pelanggan warga asing.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Mohd Jafni Md Shukor, berkata beliau memandang serius tingkah laku sedemikian berikutan hantaran tular di media sosial yang mendakwa sebuah pusat cucian kereta di Johor Bahru hanya menerima tempahan kenderaan dari Singapura lapor Straits Times.

Dia berkata majlis perbandaran tempatan akan diarahkan untuk menyiasat perniagaan sedemikian dan mengambil tindakan tegas jika amalan itu berterusan.
“Jika seseorang berniaga di Johor tetapi hanya mengutamakan warga asing dan meminggirkan penduduk tempatan semata-mata demi keuntungan yang lebih besar, maka kami tidak akan bertoleransi,” kata Datuk Jafni.
“Saya akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk membatalkan lesen mana-mana pengusaha cuci kereta yang berkeras hanya menerima kenderaan berdaftar asing, terutamanya dari Singapura.”
Datuk Jafni berkata demikian semasa majlis penutup Ekspo Hartanah Johor 2025 di Angsana Johor Bahru Mall pada 24 Julai.
Beliau menambah bahawa kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap pengusaha perniagaan yang gagal mengambil kira keperluan masyarakat tempatan.
Kes ini menjadi bualan apabila seorang lelaki mendakwa yang dia tidak boleh mendapatkan servis basuhan kereta dari sebuah kedai yang didakwa hanya melayan pelanggan dari Singapura sahaja pada ketika itu.
Tahukah anda tentang sikap sebahagian pemilik bisnes yang tidak kisah menaikkan harga yang tinggi buat servis atau produk yang dijual kerana yakin akan terjual kepada warga Singapura yang mempunya kuasa membeli yang lebih besar?