Seperti kita sedia maklum, kerajaan sudah menghapuskan harga kawalan dan subsidi untuk ayam bermula sejak 1 November lalu. Difahamkan pelaksanaan ini dapat menjimatkan RM100 juta sebulan sekaligus membolehkan wang tersebut disalurkan kepada perkara lain pula.

Terbaharu, dilaporkan penamatan subsidi dan kawalan harga ayam oleh kerajaan menyaksikan peniaga sekitar Pulau Pinang berlumba-lumba menjual komoditi itu pada harga rendah berbanding ketika harga siling yang ditetapkan sebelum ini.

Baca Juga:

Hal itu didedahkan ketika pasukan ketika pasukan pemantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri itu melakukan pemeriksaan di pasar awam dan pasar raya sejak 1 November lalu.

Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata, pihaknya sehingga kini tidak menerima sebarang aduan sepanjang tempoh harga ayam diapungkan susulan penamatan subsidi berkenaan.

“Bermula 1 November lalu, pasukan pemantau harga turun padang menjalankan pemantauan di pasar awam dan pasar raya di sekitar negeri ini yang kita belum pernah terima apa-apa aduan (berkenaan harga ayam mahal).

“Sebelum ini, harga siling ditetapkan kerajaan adalah RM9.40 sekilogram (kg). Kini, ada yang menjual pada harga RM7.80 sekilogram, kemudian RM7.50 dan ada juga RM6.99 sekilogram. Kita harap, persaingan sihat ini dapat diteruskan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang mana menetapkan lapan jenis barangan yang perlu dijual mengikut harga kawalan bersempena perayaan Deepavali kali ini.

Antaranya daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil India, bawang merah besar import dan kacang dal.

Sumber