Sebuah video yang tular di media sosial sejak Selasa lalu telah menimbulkan kebimbangan di kalangan peniaga tempatan di Uptown Sungai Petani, Kedah dengan kejadian penipuan atau scammer resit pembayaran.

Video tersebut memaparkan cubaan penipuan di mana dua individu didakwa cuba menipu beberapa peniaga tempatan dengan menggunakan resit pembayaran palsu.

Menurut rakaman video yang dimuat naik di Twitter oleh pengguna @ricxxxkiddo, kedua-dua individu tersebut didakwa menunjukkan resit pembayaran palsu kepada seorang peniaga di kawasan tersebut.

Mereka juga didakwa hanya membayar 1 sen dan menyunting resit tersebut seolah-olah sudah membayar harga barang yang ditetapkan.

Kenyataan tersebut telah menimbulkan kebimbangan di kalangan peniaga tempatan.

Ramai warganet juga telah menyuarakan cadangan untuk para peniaga agar lebih peka dan berhati-hati ketika menerima resit pembayaran secara dalam talian.

Antara cadangan yang diberikan adalah untuk menggunakan peranti bunyi ‘soundbox’ yang memberi notifikasi setiap kali pelanggan membuat pembayaran dalam talian.

Ini akan membolehkan peniaga mendapat maklum balas segera tanpa perlu bergantung kepada tangkapan skrin resit atau meminta pelanggan untuk menunjukkan resit pembayaran.

Cadangan ini disokong oleh beberapa individu yang telah menggunakannya dan mendapati ianya berkesan dalam mengelakkan penipuan seperti yang berlaku di Uptown Sungai Petani.

Mereka turut memberi contoh bahawa Maybank (MAE) adalah antara yang menawarkan peranti tersebut untuk dijual.

Peniaga di Uptown Sungai Petani dan seluruh negara digesa untuk mengambil langkah-langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan transaksi dalam talian.

Tindakan pencegahan yang sesuai perlu diambil bagi mengelakkan kejadian serupa berulang di masa depan.