Ada sesetengah peniaga menawarkan ‘air kopi luar biasa’ kepada pelanggan, dengan menambah bara arang ke dalam minuman tersebut. Bagaimanapun, trend ‘air kopi joss’ itu merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh didakwa, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Memetik satu laporan, KKM memaklumkan mana-mana pengusaha premis makanan yang didapati menghidangkan kopi bersama bara arang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Kopi yang sedia diminum dikawal di bawah Peraturan 269A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan peraturan tersebut hanya membenarkan penambahan gula, dekstrosa, glukosa atau madu, susu, krimer, makanan lain dan bahan perisa yang dibenarkan. Arang tidak dikategorikan sebagai makanan,” menurut KKM dalam kenyataan kepada Bernama.

Kenyataan tersebut bagi mengulas laporan mengenai trend meminum kopi yang dimasukkan dengan bara arang di sebuah kedai makan di sini.

Kopi yang dimasukkan dengan bara arang atau dipanggil air ‘Kopi Joss’ di Indonesia itu didakwa mempunyai keunikan rasa tersendiri. Pada masa sama dikatakan boleh menyingkirkan toksin dari dalam badan.

Bagaimanapun pakar kesihatan bimbang tindakan meminum minuman berkenaan  boleh mengundang kesan buruk seperti kanser. Ini kerana sifatnya yang karsinogenik, serta berkemungkinan usus boleh tersumbat jika diambil secara kerap untuk tempoh masa yang lama.

Menurut KKM, bara arang yang dimasukkan secara terus ke dalam minuman kopi adalah berbeza dengan ‘arang diaktifkan’ — yang lazimnya digunakan dalam industri makanan kerana ia sudah diproses dan ditulenkan, sekali gus selamat digunakan.

“Bagaimanapun, arang panas yang dimasukkan secara terus dalam kopi seperti yang ditularkan itu tidak dapat dipastikan, sama ada telah diproses dengan betul atau selamat untuk dimakan atau diminum begitu sahaja kerana kemungkinan terdapat unsur benda asing atau toksik lain.

“Justeru, sebagai langkah pemantauan, siasatan akan dijalankan setelah KKM mendapat maklumat lengkap premis makanan yang ditularkan,” ujar KKM.

KKM juga menyeru orang ramai yang ingin membuat aduan ke atas mana-mana premis makanan yang disyaki tidak mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, supaya berbuat demikian di Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Orang ramai juga boleh menghubungi KKM melalui laman web moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Sumber