Polis Terengganu telah menyita aset milik seorang peniaga kosmetik bernilai RM981,500 yang terdiri daripada tiga kereta, wang tunai serta pelbagai barangan kemas.
Aset itu disyaki hasil daripada kegiatan pengedaran dadah, petik Berita Harian.
Baca Juga:
- LHDN Digesa Pantau Influencer, Founder Kosmetik Tayang Duit Semasa Buat ‘Live’
- Polis Dedah Taktik Influencer, Founder Kosmetik Di Kelantan Jadi Tauke Besar Sindiket Dadah
- Dua Pengedar Jenama Kosmetik Antarabangsa Terima Amaran Tegas Oleh NPRA
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata ia susulan penahanan seorang lelaki tempatan bersama rampasan dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram bernilai RM32,000 Isnin lalu.
Suspek berusia 35 tahun yang juga peniaga kedai kosmetik ditahan dalam serbuan di sebuah premis tidak beroperasi di Kampung Paya Keladi di sini, kira-kira 8.40 malam.
“Aset yang disita termasuk Toyota Alphard, Mini Cooper Countryman dan Range Rover, wang tunai berjumlah RM7,700, serta beberapa barangan kemas seperti gelang tangan, rantai leher dan gelang kaki emas.
“Hasil pemeriksaan terhadap tubuh suspek menemukan satu plastik hijau mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram, dipercayai untuk edaran kepada kira-kira 6,000 penagih di daerah Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Memetik laporan itu lagi, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Namun hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenisĀ Nimetazepam.
“Suspek kini direman tujuh hari bermula kelmarin (Selasa) hingga Isnin ini (5 Mei). Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.
Pada masa sama siasatan masih dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.