Sebut sahaja founder kosmetik di Malaysia, pastinya orang ramai sudah dapat membayangkan kehidupan mewah serta bertapa gahnya bisnes mereka.

Mampu mendapatkan rumah banglo mewah serta deretan kereta mewah antara yang sudah menjadi template atau ‘kebiasaan’ buat founder kosmetik di negara ini.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

Dalam pada itu, di sebalik kehebatan bisnes kosmetik daripada pandangan mata kasar, seorang individu yang mendakwa dirinya pernah terjebak sebagai pengasas bisnes kosmetik mendedahkan bagaimana golongan founder kosmetik ini mampu mencapai kekayaan dalam tempoh yang singkat.

Tulisan asal perkongsian ini ditulis oleh Emma Harshaw Fx dan dikongsikan pada Facebook Group B40 Buat Perangai Apa Hari Ini untuk bacaan serta berkongsi informasi kepada orang ramai.

1. Geng Founder

Atas ajakan rakan, saya sertai komuniti founder berpusat di sebuah negeri di Pantai Timur. Mereka ajak sebab mereka kata saya ada rupa dan boleh success.

Kalau anda pernah tengok satu video pengasas-pengasas berkumpul OOTD dalam sebuah rumah, itulah kumpulan yang sama maksudkan. Saya pun ada tetapi sebagai picisan sahaja sebab saya bukan daripada kumpulan Pantai Timur.

2. Supplier

Kilang kosmetik OEM bertaraf GMP ada di Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor. Saya dulu guna kilang di Jalan Klang Lama. Famous sebab waktu itu kilang ini banyak jadi supplier Pomade.

Masa saya lawat kilang, banyak produk artis dan beberapa jutawan yang saya ingat dia ada kilang sendiri rupa-rupanyan OEM juga.

Geng lain ada yang cadang pakai kilang Thailand. Jauh lebih murah. Walau bagaimanapun disebabkan saya di Lembah Klang, saya ambil disini saja.

Lagipun mereka tak bagi saya deal sendiri dengan kilang. Kena melalui mereka. Mungkin sebab saya bukan sebahagian daripada mereka.

Produk Thailand juga dikenali sebagai ‘Timbang Kilo’ seperti gambar. Tak tau macam mana diseludup masuk tetapi packaging kena buat sendiri.

3. Perbincangan

Masa berbincang dengan kilang, saya buat keputusan nak buat krim muka. Kilang senaraikan bentuk dan bau yang dimahukan pelanggan.

Ketika itu tidak ada packaging. Buat diluar dan hantar ke kilang. Minimum order quantity (MOQ) adalah sebanyak 500 unit. Satu jatuh kos RM10.80.

Saya boleh jual secara runcit pada harga RM30. Kilang itu sendiri akan uruskan dapat NOT KKM. Kalau buat di kilang Thailand, kos modal sekitar RM3.40 seunit tetapi urusan KKM saya kena uruskan sendiri. Kalau anda ingat ada founder yang produk dia kantoi ada merkuri, dia pakai kilang Thailand la tu.

4. Modal

Kos produk awal dalam RM15,000. Kos marketing spend minimum dalam RM30,000 termasuk sewa kereta, rumah dan pengiklanan di Facebook dan Instagram. Waktu itu TikTok orang tak pakai sangat dalam bisnes.

Maka saya buat loan RM40,000 dan tambah sikit duit simpanan dalam RM10,000.

5. Database

Waktu tu Geng Founder ada share database agen yang bernaung bawah mereka beserta bayaran. Tak ingat berapa tetapi dalam RM5,000 jugak.

Jadi jangan terkejut kalau anda jadi stokis untuk produk A, tiba-tiba dapat jemputan jual produk B pulak. Cuma stokis ni satu sahaja mindset dia iaitu jual produk baru. Jadi yang terawal jual cepat-cepat. Lepas tu cari produk lain.

6. Marketing

Ada beberapa founder yang memang ada kereta  mewah akan bantu bagi kereta kat kami untuk marketing. Pilih sahaja nak kereta apa.

Nama akan ditukar sementara kepada nama kami. Termasuk Interchange nombor plet dan spray warna baru. Perjanjian turut dibuat antara dua pihak.

Biasanya tempoh sewaan dalam 3 bulan sehingga setahun. Takda bayaran dikenakan. Cuma mereka nak komisen daripada jumlah keuntungan untuk sepanjang tempoh ‘sewaan’ tu.

Bagi pengasas yang berjaya, mereka akan beli terus kereta itu sebab tak mahu dicop sebagai scammer bila tiba-tiba naik Myvi.

Bagi yang tak berjaya, kereta mewah tu akan dipulang balik.
Selain kereta, founder juga ada buat sewaan rumah mewah untuk tujuan marketing sahaja.

Biasanya kami ambik beribu gambar dalam beberapa hari dan dengan baju yang berbeza. Tapi gambar tu akan dipost di media sosial sikit-sikit setiap hari. Oleh sebab lokasinya jauh di Pantai Timur, saya sewa 3 hari je.

7. Jualan

Saya berjaya jual 6,000 unit dalam masa seminggu sahaja tetapi semua saya jual dengan agen. Agen yang biasa buat fake review dan marketing.

Keuntungan saya dapat dalam RM12 setiap satu. Kiranya untung kasar adalah dalam RM90,000. Untung bersih dalam RM40,000.

Kalau saya pakai kilang Thailand, untung bersih saya akan jadi dalam RM100,000 sehingga RM200,000. Sebab itu geng yang buat di kilang Thailand, mudah nak jadi jutawan dengan 2-3 pusingan sahaja.

8. Kesimpulan

Oleh sebab saya mula dengan beberapa penipuan, saya pilih untuk terus berhenti untuk mengelakkan lebih banyak lagi penipuan. Ramai agen bising barang tidak dapat dijual sebab saya tak aktif dalam Instagram dan sudah berhenti upload gambar.

Ini antara penipuan saya buat yang juga diajar oleh geng founder:

1. Acah-acah ada kereta mewah. Penipuan dapat disorok sebab kereta tukar nama kepada nama saya dan nombor plet juga ditukar.

2. Overclaim. Buat review palsu bersama agen dan founder lain. Kami bertukar-tukar review sahaja. Banyak penipuan review agen yang buat dan share sesama diorang. Waktu tu saya ada dalam 40-50 orang agen satu Malaysia.

3. Acah-acah ada rumah mewah. Sedangkan semuanya fake. Saya ambik beratus gambar dan upload ke Instagram sikit-sikit atas nasihat founder lain. Saya stop upload sebab setiap kali upload memang rasa bersalah teramat.

4. Yang ni saya tak buat. Tapi kesalahan saya adalah diamkan sahaja benda ni. Banyak produk Timbang Kilo dipasaran lulus KKM.

Sebab apa yang dihantar untuk test lain. Tapi apa yang dijual lain. Harap KKM boleh perbanyakkan operasi. Ni antara skandal penipuan terbesar oleh kumpulan founder ini.

Ada banyak lagi. Bila mula dengan penipuan, kita akan tutup penipuan dengan penipuan juga. Akhirnya, untung saya bagi sama rata dengan semua agen dan bayar full settlement loan. Sebab saya tak rasa keberkatan pun bila belanja duit tu.

Founder yang anda lihat di Instagram dan TikTok mungkin bukan lagi acah-acah berbisnes kerana selepas berjaya, mereka akan beli rumah dan kereta mewah sendiri.

Walau bagaimanapun, kejayaan mereka bermula dengan penipuan. Ada juga founder yang lepas berjaya pusingan pertama menjual produk akan berhenti mengeluarkannya serta menggunakan modal tersebut untuk membuka restoran, kedai elektronik dan lain-lain.

Kemas kini: Tidak sampai 24 jam membuat pendedahan, difahamkan perkongsian yang meraih lebih 100,000 likes dan puluhan ribu shares di Facebook ini telah membuat segelintir pihak tidak senang hati.

Malah, individu ini telah diugut dengan tindakan saman. Individu ini turut mendedahkan terdapat mereka yang berada dalam kelompok founder ini yang telah gagal melangsaikan hutang dengan beliau sebanyak RM45,000 sejak dari tahun 2017 lagi.